About Me

My photo
"Hanya seorang musafir muda yang mengembara di bumiNya dalam mencari Cinta Yang Hakiki"

Tuesday, December 27, 2011

Perjalanan Sebuah Kehidupan

Perjalanan sebuah kehidupan,
Tak selamanya jalan itu mudah dan indah,
ada ketikanya jalan itu penuh dengan ranjau, onak dan duri,
sering melukakan, mencalarkan dan menghiris dalam senyap
hinggakan meninggalkan kesan luka
yang ada kalanya bernanah dan sukar untuk sembuh
dan akhirnya meninggalkan parut yang memakan masa untuk parut itu hilang
malah ada juga parut yg akan kekal terukir selamanya...
Dalam kaki melangkah mengharungi perjalanan kehidupan ini,
ada ketikanya langkah terhenti di antara persimpangan,
persimpangan jalan yang adakalanya mudah untuk dipilih
namun seringkali menimbulkan keraguan untuk memilih jalan yang terbaik,
jalan yang menjanjikan sinar di penghujungnya,
persimpangan itu membuatkan hati dan minda bertelingkah
samada memilih jalan yg pendek atau jalan yang panjang,
jalan yang mudah atau jalan yang sukar,
jalan yang indah dengan pemandangan yang mengasyikkan
atau jalan yang penuh dengan ranjau, liku, onak dan duri
persimpangan itu juga membuatkan hati ragu dan takut untuk membuat keputusan,
bimbang tersalah langkah, bimbang tersalah pilih
akhirnya hati dan minda terjerumus dengan palitan lumpur jerlus yang menelan dan melemaskan,
terbelit dek lilitan akar yang membelit dan menyesakkan,
hanyut di telan ombak dan badai yang menggulung
angkara hati dan minda khilaf membuat penilaian,
mata hati buta menafsirkan...
Dalam kaki melangkah meneruskan perjalanan kehidupan ini,
hati dan minda berusaha mencari bimbingan dan didikan,
agar keduanya dibimbing dan dituntun dengan kasih dan sayang
dalam mengenal makna kehidupan, erti sebuah perjalanan,
juga dalam mencari, mengenal dan menikmati cinta yang teragung...
hati dan minda ini masih ketandusan ilmu, masih dahagakan didikan dan bimbingan
untuk sebenar mengenal dan menikmati perjalanan kehidupan ini
demi sebuah keredhaan agung, demi sebuah cinta agung
melalui jalan cinta seorang kekasih agung...
Dalam kaki melangkah mengharungi jalan kehidupan ini,
persoalan demi persoalan kian menghampiri,
hati dan minda adakalanya seakan kelu
dan hampir sahaja keduanya lemas dengan persoalan-persoalan itu
namun, hati dan minda sedar,
dalam mengenal cinta yg agung
persoalan itu perlu dalam membimbing hati dan minda mencari jawapannya
pada insan yang dipilihNya dengan dikurniakan darjat sebagai Guru...
Dalam kaki melangkah meneruskan perjalanan kehidupan,
hati dan minda menitipkan doa padaNya
moga hati dan minda diizinkanNya untutk terus tabah dan kuat
melangkah seiring bersama insan terpilih
dalam mengenal cintaNya melalui jalan kekasihNya

Tanjong Malim,
27 Disember 2011 (2 Safar 1433H)

Wednesday, December 7, 2011

Cinta & Airmata III

Gadis itu, telah lama berdiam diri, memendamkan segala isi hati agar dia peroleh ketenangan hati. Dalam diamnya itu, tanpa jemu dia bermunajat, mengadu, meluahkan segala yang terpendam dalam hatinya pada Pemilik Cinta yg Hakiki. Hanya pada Ilahi dia meluahkan segalanya setelah apa yg telah berlaku dalam hidupnya. Pada Ilahi jua dia mengadu akan kelukaannya tatkala memendamkan sebuah cinta dan kasih buat seorang insan yg tidak menyedari akan kewujudan cinta dan kasih itu. Puas sudah gadis itu memendamkan segalanya. dipendamkan airmatanya yg tumpah dek kelukaan apatah lagi di saat dia menyedari bahawa dirinya sememangnya tidak pernah ada tempat di hati lelaki itu. Puas sudah gadis itu menelan kepahitan sebuah hakikat yg cinta dan kasihnyanya itu tidak pernah mendapat tempat di hati lelaki itu dan gadis itu akur menerima kebenaran bahawa lelaki itu telah punya pilihan hatinya, dan gadis itu mengundurkan diri bersama cinta dan airmatanya yg sekian lama terpendam. Pengundurannya membawa kelukaan di hati dan diamnya dia selama ini mencari damai di hati. Hanya pada Ilahi tempat dia mengadu. Gadis itu berusaha untuk terus tersenyum biarpun selama ini hatinya menangis.

Setelah sekian lama, gadis itu telah mampu untuk menerima segalanya dengan redha kerana dia percaya akan janji Ilahi yg pasti. Dia semakin berani mengorak langkahnya maju ke hadapan dan ketenangan dan kedamaian yang di cari, semakin menghampiri. jangkanya kini, dia tidak akan menangis lagi. Namun, janji Allah itu pasti. Setiap hambaNya pasti akan diuji sebagai tanda cintaNya yg hakiki dan gadis itu tidak terlepas dari diuji. di saat dia semakin menghampiri kedamaian dan ketenangan, dia diuji semula dengan kehadiran semula lelaki itu ke dalam hidupnya. Biarpun gadis itu berusaha utk menjalani kehidupannya seperti tiada apa yg berlaku, namun, dia tak kan dapat menipu hatinya sendiri. biarpun dia cuba utk menafikan rasa yg hadir dalam hatinya, rasa itu semakin mencengkam. Tanpa jemu dia mengadu pada Ilahi, tanpa jemu dia memohon pada Ilahi agar dia dikurniakan kekuatan utk menghadapi semua ini buat kesekian kalinya.

Biarpun gadis itu mempamerkan riak yg biasa namun gelora di hatinya kian kuat mambadai. apatah lagi di saat berhadapan dengan lelaki itu. tiada putus gadis itu berdoa agar dia diberi kekuatan agar dia dapat meneymbunyikan rasa cinta yg hadir dalam hatinya buat lelaki itu kerana dia menyedari takkan ada tempat di hati lelaki itu untuk cinta dan kasihnya yg telah sekian lama terpendam. Sebelum jauh gadis itu hanyut diulit lena panjang, dia harus segera bangun dan sedar dari lamunannya itu. Gadis itu tidak mahu terluka lagi, gadis itu tidak mahu menangis lagi kerana di saat dia terluka dan menangis, tiada yg menyedari. cukuplah selama ini segala tangisannya dan kelukaannya kerana cinta yg terpendam disembunyikan di sebalik secalit senyuman. Biarpun sekuat mana rasa cinta dan kasihnya buat lelaki itu, gadis itu menyedari, takkan pernah ada ruang di hati lelaki itu untuk cintanya. lelaki yg itu takkan menyedari cinta dan kasih gadis itu kerana telah terlalu lama cinta dan airmata gadis itu terpendam buatnya. Kini, segalanya akan bermula seperti ketika saat awal gadis itu menyimpan cinta dan airmatanya buat lelaki itu dan berdoa moga suatu hari nanti, si dia akan menyedari cinta dan kasih yg telah gadis itu simpan buatnya selama ini andai itulah yang telah tertulis pada lembaran takdir mereka berdua. Pada Ilahi gadis itu sandarkan segala impian, harapan dan cinta.

6 June 2011

Friday, August 5, 2011

Monolog Seorang Hamba

semakin aku jauh melangkah dalam perjalanan kehidupan ini, semakin banyak yg telah aku tempuhi dan pelajari. perjalanan ini banyak duri dan ranjau yg harus kutempuhi. bukan sedikit duri dan ranjau yg telah melukakan ku namun aku harus melangkah jua. harus kuhadapi jua segalanya biarpun ianya melukakan, memeritkan. ianya menjadi satu pengajaran buatku betapa hidup ini tidak semudah dan seindah yg kusangkakan. kehidupan ini mengajar aku untuk menjadi lebih dewasa, menjadi hambaNya yg lebih bertakwa, redha dengan segala ketentuan yang telah Dia hadirkan dalam hidupku kerana Dia lebih mengetahui. 

Adakalanya aku terasa tiada upaya ku untuk meneruskan langkahku, aku seakan hampir menyerah dengan setiap ujian dan dugaan yg melanda. puas kuhamburkan airmataku setiap kali kurasakan aku semakin kehilangan tenagaku. aku sering tunduk menangis, di saat kurasakan keupayaan ku semakin menipis. betapa di saat itu kurasakan aku tidak mahu meneruskan langkahku. cukuplah dengan segalanya. aku tak mahu merasai kesakitan bisa duri dan ranjau yg kutempuhi. bagiku, bisa itu sangat memeritkan, sangat menyakitkan.

Di saat aku hampir menyerah, akur pada kekalahan, kurenung kembali alam ciptaanNya ini. kuselami kejadian Matahari, menjalankan amanah yg diberi olehNya. Matahari itu tetap sahaja terbit di ufuk bumi menyebarkan cahayanya. selagi Allah mengizinkan, Matahari tetap hadir biarpun ada ketikanya matahari hilang seketika di balik awan mendung yang menghadirkan hujan dan ribut. sampai masanya, awan mendung itu berlalu pergi, matahari muncul kembali bersama sang pelangi, menyerikan alam yg tadinya kelam. Sabarnya matahari menjalankan amanahNya biarpun ada ketika, kehadiran matahari itu tidak disenangi dan sering dirintih kerana kepanasannya. 
kulihat kawanan burung2 yang terbang bebas di kaki langit. kuselami perjalanan kehidupan sang burung. setiap pagi tanpa jemu, sang burung terbang bertebaran di muka bumi ini mencari rezeki buat mengisi perut sendiri dan zuriatnya untuk kelansungan kehidupan. seharian, jauh sang burung berterbangan. adakalanya, sehingga hari petang, sang burung terbang dan akhirnya rezekinya ada biarpun jauh dari sarangnya. sang burung sentiasa berusaha dan berserah kepada Allah untuk memberikannya rezeki.

banyak kejadian di muka bumi ini sebenarnya mengajar dan menyedarkan aku betapa sebenarnya, Allah itu sangat mengasihi dan mnyintai setiap hambaNya. Allah maha mengetahui segalanya yg telah Dia takdirkan untuk setiap hambaNya. setiap ujian dan dugaan yg diberikanNya adalah satu tanda cintaNya buat para hamba. Allah menguji kerana Dia mahu hambaNya sentiasa menjadi seorang insan yg bertakwa dan beriman. melihatkan setiap kejadian di muka bumi ini membuatkan aku malu sendiri.

Sesungguhnya aku sedar, hidup ini sebenarnya sangat mudah andai perjalanan hidup ini disertai dengan sifat sabar, redha dan tawakal. hidup ini juga sangat indah andai diri sentiasa bersangka baik kepada Allah dan menerima setiap ujian dan dugaanNya sebagai tanda cintaNya. Allah Maha penyayang, maha pengasih ke atas setiap hambaNya. Allah tidak pernah membiarkan hambaNya bersendirian. Dia sentiasa ada bersama hambaNya.

"Ya Allah, Tuhan semesta alam, yang memegang segala rahsia, asbab dan hikmah setiap kejadian, padaMu aku meminta. Kurniakanlah hatiku kekuatan iman untuk menghadapi setiap ujian dan dugaanMu. Lapangkankah hatiku untuk menerima segala ketentuanMu. Pinjamkanku sifat pengasih dan penyayangMu agar aku menjadi seorang hamba yg pemaaf. Pinjamkanku secebis kekuatanMu agar dapat kujalani kehidupanku dengan melaksanakan amanahMu. Ya Allah, Engkau yang maha mendengar segala yang tersurat dan tersirat dalam hati hambaMu. Engkau tempat kumengadu segala dukaku, segala keluh kesahku. Engkau mendengar segala rintihan hambaMu. Engkau yg menyaksikan segala keperitan, kesusahan hambaMu. Hanya Engkau yg mampu menghilangkan kesedihanku, hanya Engkau yang mampu menghilangkan keperitanku. Jadikanlah aku hambaMu yg sentiasa mensyukuri segala nikmat dan musibah yg Engkau kurniakan. JAdikanlah aku hambaMu yg memiliki sifat sabar yang tinggi seperti mana sabarnya kekasihMu, junjungan setiap umat. kurniakan aku kelembutan seperti kelembutan kekasihMu. kurniakan aku kecekalan seperti kecekalan kekasihMu agar dapat kuteruskan perjalanan hidupku dengan lebih ketengana dan kecekalan. Ya Allah, padaMu kuserahkan hidup dan matiku kerana Engkau lebih mengetahui..."

Wednesday, August 3, 2011

Sekadar luahan di 3 Ramadhan

Hari ni, hari ketiga umat Islam menunaikan Rukun Islam yg ke3. sekejap jer 3 Ramadhan bakal berakhir dan 4 Ramadhan pula menyusul. putaran masa terasa seakan singkat dan cepat. Syukur, Allah masih mengurniakan kesempatan untuk kita menjalani ibadah ini buat kesekian kalinya. Dalam diri ini mengharungi baki 3 Ramadhan ni, banyak perkara terdetik di dalam hati dan banyak juga perkara yg telah berlaku menyebabkan minda ligat bermain, memikirkan setiap persoalan dan perkara... (hem, macam serius je bunyi, tapi memang serius pun). 
 
Banyak perkara yg berlaku dalam hidup ini membuatkan mindaku ligat berputar. memikirkan setiap satu perkara yg terjadi. mencari jawapan kepada setiap persoalan. kekadang pabila melihat sekeliling, banyak sungguh gelagat2 insani yg adakalanya membuatkan diri ini terfikir; kenapa & mengapa?. adakalanya, sikap insan2 disekeliling ni membuatkan diri ini bermuhasabah kembali. sebenarnya setiap perilaku kita ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi keadaan sekekliling dan insan2 yg hampir dengan kita. contohnya, apabila kita senyum pada seseorang, tidak mustahil insan tersebut akan turut tersenyum. (tapi ada gak yang tak.. huhuhu) baik atau buruk impak sesuatu perkataan yg kita lafazkan atau perbuatan yg kita lakukan bergantung pada kita, niat kita. (walaupun ramai jer yg tersalah tafsir... huhuhu)

adakalanya, sikap kita ni dipengaruhi oleh faktor2 sekeliling dan usia turut membantu (ye ke?) tapi masih ramai lagi yg bersikap tidak seperti usia mereka. ada yg umurnya dah banyak namum masih bersikap kebudak-budakkan (dalam konteks ni, TAK MATANG). ada juga usianya, alahai, baru setahun jagung tapi pemikiran, percakapan, tingkah laku sangat dewasa... jelas, ada ketikanya, usia tidak menjamin kematangan seseorang... melihat gelagat insan2 di sekeliling banyak megajar diri ini utk lebih memahami dan mengerti realiti kehidupan. Syukur padaMu Ya Allah, kerana telah Kau ilhamkan kepada ku secebis ilmuMu melalui ujian dan dugaan yg Kau hadirkan dalam duniaMu ini..

benarlah kata org tua2: Pengalaman adalah guru yg terbaik. pengalaman mengajar kita untuk menjadi insan yg lebih baik dari yg sebelumnya. namun, semua itu tak mungkin terjadi tanpa izin dari Ilahi, kerana Dialah pemegang segala kunci langit dan bumi, Dialah pemegang segala rahsia, asbab dan hikmah setiap kejadian. Allah yang Maha Agung... Syukran Ya Allah

Tuesday, July 5, 2011

Perjalanan Kehidupan 2011

Setelah sekian lama tidak menulis, tiba-tiba rasa nak menulis kembali. sebenarnya banyak ilham yang datang namun tak tahu bagaimana nak memulakannya. Adakalanya, kekangan masa membuatkan tiada kesempatan untuk menulis. walau bagaimanapun, akan dicuba juga meluangkan masa untuk menulis. sekurang-kurangnya, dengan menulis, dapat jugalah meluahkan apa yg terbuku atau mungkin sekadar berkongsi apa yang dilihat dan apa yang dialami diri sendiri mahupun insan-insan disekeliling diri ini. 

Dalam diam sudah setengah tahun perjalanan kehidupan di tahun 2011 ni. banyak perkara yg telah berlaku dan di alami diri ini dan juga insan-insan disekeliling terutamanya keluarga dan sahabat2. setiap perkara dan kejadian yg berlaku sedikit sebanyak mematangkan diri ini terutamanya dalam mengharungi arus kehidupan yg adakalanya bagai ribut taufan yg mengganas dan adakalanya ibarat angin bayu sepoi-sepoi bahasa menyapa pipi, tenang dan mengasyikkan. Syukur pada Ilahi kerana masih memberikan kesempatan diri ini untuk belajar mengenal erti kehidupan. Syukur pada Ilahi kerana masih memberikan kesempatan diri ini utk terus berbakti pada kedua ibu bapa, guru, anak bangsa, agama dan negara secara langsung mahupun tidak langsung. 

Bila direnungkan kembali, sebenarnya masih banyak yg harus diri ini perbaiki dan pelajari dalam mengenal cinta Ilahi. apa yg ada sekarang ini masih belum cukup utk melayakkan diri ini mengaku bahawa sesungguhnya diri ini tahu tentang sesuatu. bak kata pesan Guruku "Semakin banyak kita tahu, semakin banyak yg kita masih tak tahu" lebih kurang begitulah pesannya. sememangnya benar pesanannya itu. apa yg kita tahu itu belum tentu menjamin kita ini serba mengetahui kerana masih banyak yg perlu kita pelajari dalam memahami makna sebenar sebuah kehidupan sebagai seorang hambaNya yg kerdil. Bahkan pernah dikatakan "Andai kering semua lautan di dunia ini dijadikan dakwat, belum tentu dapat diketahui segala ilmu yg Allah ada" Maha Suci Allah, sesungguhnya hanya Dialah yg memiliki segala kebijaksanaan yang tiada taranya dan kita hambaNya yg kerdil ini hanya meminjam secebis ZatNya untuk menjadi hamba yg sebenar-benar mengenal siapa Dia. itupun sayangnya, masih ada segelintir hambaNya yg angkuh dengan apa yg dipinjamkanNya. Nauzubillah, semoga tiadalah diri ini dan insan2 disekeklilingku yg tergolong dalam golongan seperti itu.

Sesungguhnya, diri ini sangat bersyukur kerana dikurniakan kedua ibubapa yang sangat mengasihiku, tanpa jemu mendidikku agar sentiasa menjadi insan yg bermanfaat kepada insan2 lain, menasihatiku tatkala aku terlena seketika dan menjagaku tatkala kesakitan dan kesempitan melanda. Aku turut bersyukur kerana dikurniakan para guru yg telah mendidikku semenjak aku mula melangkah ke alam sekolah hinggalah kini aku jua bergelar pendidik. Banyak yg telah aku pelajari hasil didikan mereka. aku jua turut bersyukur kerana dikurniakan sahabat2 yg sentiasa bersamaku susah dan senang. Aku sangat2 bersyukur kerana telah banyak yg Allah kurniakan buatku sepanjang 26 tahun aku bernafas di muka bumiNya ini. 

Semoga perjalanan hidupku ini akan sentiasa dirahmati dan diberkati Allah agar aku terus menjadi hambaNya yg bermanfaat buat insan2 lain. Hanya padaNya aku sandarkan setiap impian, harapan dan anganku kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buatku...


Monday, January 17, 2011

Hanya sebuah nukilan...

Mengapa ada segelintir umat manusia yang telah dianugerahkan Ilahi dengan rahmat sebuah pernikahan sewenang-wenangnya mencemari kesucian ikatan yang dinamakan pernikahan. Bukankah pernikahan itu adalah sebuah ikatan yang mengikat dua hati menjadi satu jiwa, berkongsi rasa kasih dan cinta yang dikurniakan Ilahi? Mengapa setelah bertahun bercinta, pabila bernikah, ianya hanya mampu bertahan setahun dua? Apa lagi yang kurang dalam ikatan pernikahan? Pernikahan adalah medan untuk saling melengkapi kekurangan dan kelebihan namun mengapa setelah akad dilafazkan, sering hanya kekurangan yang dilihat sedangkan ketika bercinta segalanya yang terbaik. Apa lagi yang kurang dalam pernikahan itu? Sering didengari bahawa pernikahan itu adalah medan untuk si isteri mengenali si suami dan si suami untuk melindungi si isteri. Namun mengapa acap kali yang didengari adalah si suami mencederakan isteri, isteri kini berani untuk curang terhadap suami. Apa lagi yang kurangnya dalam sebuah pernikahan? Apa yang sedang dicari oleh mereka ini dalam sebuah ikatan pernikahan? Akan ada yang berkata hanya yang berada dalm ikatan pernikahan itu tahu apa yang berlaku dan mengapa ikatan itu berakhir.



Adakalanya, tatkala mendengar dan melihat begitu banyak ikatan pernikahan yang suci terlerai dek kerana pelbagai alasan yang adakalanya tidak munasabah membuatkan diri ini ragu dengan keupayaan diri. Apakah diri ini telah bersedia untuk melangkah ke gerbang itu? Apakah telah cukup bekalan untuk di bawa tatkala memasuki ke lembah pernikahan? Apakah diri ini mampu menjadi seorang isteri dan ibu yang menjadi penyejuk mata buat suami dan anak-anak? Apakah diri ini mampu menjadi tulang belakang suami, menjadi pendorong buat suami dan menjadi pelengkap kepada kekurangan dan kelebihan suami? Apakah hati ini kuat dan cukup bersedia untuk menerima kekurangan dan kelebihan suami? Apakah hati ini akan redha di atas segala ujian dan dugaan dalam menjalin sebuah ikatan pernikahan yang suci?



"Ya Allah, Engkau yang lebih mengetahui apa yang ada disebalik hati hamba-hambaMU. Engkau yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat Hamba-hambaMu. Diri ini pohon padaMu agar hati ini kuat untuk menghadapi dugaanMu, agar hati ini redha dengan setiap ketentuanMu. Ya Allah, diri ini pohon padaMu diberi kekuatan akal dan hati  seperti para Wanita solehah yang telah menjadi isteri dan ibu kepada para mujahiddin yang telah berjuang di jalanMu. Diri ini pohon padaMu agar diberi kelembutan dan kesabaran seperti para wanita solehah yang telah menjadi isteri dan ibu kepada para mujahiddin yang berjuang untukMu. Diri ini pohon padaMu agar dikurniakan kerahmatan dan kerberkatan di atas jalinan ikatan suci sebuah pernikahan yang telah Engkau takdirkan buatku. Diri ini mohon agar diri ini menjadi penyejuk mata dan hati buat suami yang telah Engkau tetapkan buatku. Ketemukanlah kami dalam rahmatMu agar kami saling menyayangi keranaMu, saling melengkapi keranaMu. Sesungguhnya Engkau yang berkuasa ke atas setiap hamba-hambaMu."

20 Ogos 2010
Tg Malim

Sekalung Doa Buatmu, Guruku

Dalam keheningan malam,
kupanjatkan doa pada Yang Esa,
Ya Tuhanku,
Insan ini telah banyak jasanya padaku,
Dia telah mendidikku dengan penuh kesabaran,
Dia telah mendidikku dalam mengenal duniaMu,
Dia mendidikku tentang kalamMu,
Dia mendidikku dalam mengenal ciptaanMu...
Ya Tuhanku,
Sesungguhnya insan ini telah mengajarku erti sebuah pengorbanan,
Dia telah mendidikku akan nilai sebuah kesabaran,
Dan dia telah mendidikku akan erti kalamMu...
Ya Tuhanku,
Insan ini telah menitipkan harta yang tidak ternilai kepadaku,
Dia telah memberikan aku sebuah pengertian dalam kehidupan,
Dia telah memberikan aku tapak yang kukuh untuk aku terus berdiri di bumiMu ini...
Ya Tuhanku,
Andai aku bisa memetik bintang di langitMu,
Pasti akan kuhadiahkan kepadanya
namun,
aku tidak bisa...
Andai ada daya ku untuk memberikan dunia ini,
akan kuberikan segalanya kepadanya
namun,
aku tiada berdaya...
Segala pengorbanannya,
segala penat lelahnya,
Segala jasanya kepadaku,
takkan dapat ditukar ganti...
Hanya padaMu, Tuhanku,
Aku bermohon...
Berkatilah kesabaran guruku dalam mendidikku,
Ganjarilah pengorbanan guruku dalam mendidikku,
Permudahkanlah kehidupan guruku,
kerana dia telah permudahkan hidupku,
dengan mendidikku akan ilmuMu...
Ya Tuhanku,
Kini aku berdiri di landasan yang sama seperti guruku,
Kumohon padaMu,
Kurniakanlah aku kesabaran setinggi kesabaran para guruku,
Kurniakanlah aku kekuatan sekuat kekuatan para guruku,
Kurniakanlah aku ketabahan seperti para guruku,
Agar aku dapat meneruskan perjuangan para guruku,
dalam mendidik anak bangsaku,
Dalam menegakkan kebenaran ilmuMu,
Agar perjuangan para guruku tidak terhenti,
selagi nadiku berdenyut,
Selagi darah merah masih mengalir dalam tubuhku,
perjuangan para guruku akan kuteruskan...
Sesungguhnya,
tiada apa yang dapat kuberikan
selain sekalung doa pada Yang Esa,
buat seorang insan yang bergelar...
GURU...

Nur Qistina Abdul Razak
UPSI Tg Malim
1:15 am
25/05/2010

Penantian dalam Kelukaan

Buat kesekian kalinya, gadis itu menitiskan airmata. Hatinya merintih dan meratap hiba. Hatinya luka lagi. Pedihnya luka itu begitu perit seakan belati tajam yang menghiris. Bisanya menular ke segenap penjuru hatinya. Manik jernih yang gugur kini selebat hujan yang membasahi bumi. Alam seakan mengerti betapa hati gadis itu kini telah terluka lagi dan alam turut sama berlagu hiba, turut sama menangis kerana alam seakan mengerti gadis itu hanya menangis bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Awan mendung mencurahkan segalanya seakan ingin memberitahu gadis itu, dia tidak menangis sendiri. Alam setia menemaninya di saat tiada insan lain di sisinya. Gelora di hati gadis itu membadai, menghanyutkan hati itu dalam arus deras yang pada bila-bila masa mampu melemaskan hati itu dalam lautan kedukaan dan kelukaan.
Gadis itu tidak mampu lagi menanggung bebanan perasaan yang menghimpit hatinya. Makin dia cuba untuk melupakan, makin kuat ingatannya kepada lelaki itu sedangkan gadis itu tahu dia tak mungkin dapat memiliki cinta lelaki itu kerana lelaki itu tidak pernah menyedari kehadiran cintanya. Makin gadis itu cuba membuang jauh rasa cinta itu, semakin kuat getaran cinta itu. Betapa saat ini, gadis itu kian kelemasan dalam lautan perasaannya. Buat kesekian kalinya, gadis itu merasakan kesakitan kelukaan seperti mana yang pernah dialaminya dulu. Betapa hatinya kini telah dilukai oleh insan-insan yang pernah menghuni hatinya. Dahulu dia pernah menyintai sepenuh hati namun hatinya dilukai, cintanya dibuang ke tepi, kesetiaannya tidak dihargai. Saat itu, lukanya begitu dalam dan bertahun gadis itu mengubatinya. Tika itu, gadis itu terfikir, tak mungkin dia mampu menerima sebuah cinta dalam hatinya lagi.
Namun, dia akhirnya akur pada kehendak takdir. Pintu hatinya diketuk oleh perasaan cinta. Perasaan itu hadir buat seorang insan yang tersangat rapat dengannya namun, akhirnya dia terluka lagi kerana mengharap pada seseorang yang hanya menyayanginya sebagai seorang sahabat. Gadis itu akur pada suratan dan dia redha dengan segalanya. Tak mungkin dia dapat miliki cinta dari insan itu kerana lelaki itu kini sedang berbahagia. Gadis itu hanya mampu mendoakan kebahagiaan sahabatnya itu. Buat kedua kalinya, gadis itu merawat luka di hatinya.
Dalam dia merawat luka dihati, hadir seorang insan menghulurkan cintanya. Mulanya, gadis itu ragu untuk menerima kerana takut terluka lagi. Namun melihatkan kesungguhan lelaki itu membawa dia berjumpa keluarganya membuatkan gadis itu yakin akan keikhlasan lelaki itu. Di saat itu, dirinya terasa amat bahagia dan yakin bahawa cinta lelaki itu akan merawat semua luka dihatinya dan gadis itu menghitung detik yang berlalu dengan harapan saat yang selama ini ditunggunya akan tiba. Gadis itu berpegang pada janji yang dilafazkan lelaki itu. Namun, semakin usia hubungan mereka meningkat, gadis itu masih menunggu dan terus menunggu saat untuk lelaki itu menunaikan janjinya. Gadis itu sering bertanyakan janji yang dilafazkan namun akhirnya jawapan yang diterima melukakan hatinya lagi. Gadis itu menangis dan menangis kerana hanya itu yang terdaya dilakukannya. Terbang segala harapan yang dimimpikannya. Pada satu saat, gadis itu terasa hatinya kosong. Biarpun gadis itu menyayangi lelaki itu, namun, perasaan itu kini seakan semakin menjauh. Jauh meninggalkan dirinya. Di kala itu, gadis itu tidak mengharapkan apa-apa lagi kerana baginya cukuplah dengan harapan yang pernah dia impikan yang musnah begitu sahaja dek kerana cinta. Kini hatinya terluka lagi dan lukanya ini kian dalam hinggakan dia merasakan betapa sakitnya kelukaan ini dan ingin sahaja gadis itu pergi jauh membawa diri ke suatu tempat yang baru agar dia bisa melupakan semuanya.
Gadis itu menangis dan terus menangis. Hatinya telah terluka dan semakin lama lukanya semakin dalam. Dan kini luka itu kian parah di saat dia menyedari betapa dia sebenarnya menyintai seseorang yang baru dikenalinya. Biarpun pada awalnya dia menafikan perasaan yang mula bercambah namun perasaan itu kian mengembang bak kuntuman mawar yang sedang memekar harum. Puas dia cuba untuk membuang jauh perasaan itu, namun dia gagal. Wajah lelaki yang baru dikenalinya sentiasa bermain di ruang fikiran. Puas dia cuba untuk melupakan namun makin kuat ianya menghampiri. Gadis itu mengerti kedudukan dirinya untuk menyintai lelaki itu. Siapalah dia untuk berdamping dengan lelaki itu. Apalah yang ada pada dirinya untuk meraih cinta lelaki itu. Masakan lelaki itu akan memandangnya pabila lelaki itu dikelilingi wanita yang jauh lebih cantik dan hebat dari dirinya. Tatkala memikirkan semua itu, hatinya menangis dan merintih.
Kini, gadis itu hanya mampu menangis dan menangis biarpun tangisannya disebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibir. Gadis itu hanya mampu berserah pada Ilahi. Gadis itu kini mengharapkan belas ihsan Ilahi dalam merawat lukanya. Gadis itu tidak putus berdoa agar suatu hari nanti luka dihatinya ini akan sembuh dengan hadirnya sebuah cinta dari seorang insan yang bergelar Suami. Dia akan terus menanti tibanya saat itu biarpun nanti penantiannya itu merupakan sebuah penantian yang panjang. Gadis itu berdoa agar penantiannya itu bakal memberikannya sebuah kemanisan cinta yang kekal selamanya...

20 May 2010
Tg Malim

Friday, January 14, 2011

Cinta & Air Mata II

Gadis itu termenung sendirian. masih terngiang suara ibunya di benak fikiran. "Ibu ni asyik terima jemputan kahwin dari kawan-kawan ibu. Bila lah agaknya ibu boleh bagi jemputan kahwin pada kawan-kawan ibu pula ye?" tersentak seketika gadis itu tatkala mendengar soalan ibunya. Seakan ada selumbar halus yang menusuk ke dalam hatinya. Pedihnya tak terkata. Gadis itu hanya mampu tersenyum sambil memandang ibu yang dikasihinya. gadis itu dapat melihat raut wajah ibunya yang penuh pengharapan tatkala menatap sekeping kad undangan perkahwinan yang diterimanya. Gadis itu memahami perasaan ayah dan ibunya yang teringin menjadi seperti kawan-kawan mereka. Pada peringkat usia mereka semstinya mereka teringin untuk melihat anak gadis mereka ini memiliki sebuah keluarga sendiri. Mereka teringin untuk bermain dengan anak kecil yang bergelar cucu. mereka teringin untuk dipanggil Tok Ayah dan Ummi. Gadis itu mengerti perasaan kedua orang tuanya namun apakan daya, sehingga kini gadis itu hanya mampu berdoa dan terus menanti saat munculnya hari itu.
Di kala gadis itu keluar bersama sahabatnya, di satu sudut gadis itu terlihat sepasang suami isteri bersama anak-anak mereka yang masih kecil. terleka sebentar gadis itu melihat keceriaan dan kemeriahan keluarga kecil itu. Terhibur hati gadis itu tatkala melihat keletah anak-anak kecil itu bergurau dan bermesra dengan ibu dan ayah. Satu perasaan halus menyelinap ke dalam hati gadis itu. Keluhan kecil terlepas dari mulut si gadis. Dadanya terasa seakan sesak seketika. Terdetik di dalam hatinya persoalan bilakah dia akan merasai suasana seperti pasangan itu? Bilakah dia dapat merasakan apa yang dirasakan wanita itu. Pada pandangan gadis itu, wanita itu cukup bahagia dengan kehadiran suami dan anak-anak. Terselit sedikit perasaan cemburu di hati gadis itu namun dia menyedari cemburu hanya akan memburukkan keadaan hatinya yang sememangnya sedang merintih. Dia hanya mampu tersenyum melihat keluarga kecil itu dan berdoa agar satu hari nanti, saat seperti itu akan muncul dalam hidupnya.
Sedang si gadis leka memerhatikan keluarga kecil itu, di satu sudut taman itu, dia terlihat sepasang pengantin anggun berbusana perkahwinan sedang bergaya di hadapan kamera. terpesona si gadis melihat suasana itu. terpancar riak kegembiraan di wajah keduanya tatkala mata bertentang. Gadis itu dapat merasakan aliran cinta yang hadir di hati kedua pengantin itu. Betapa di saat itu, si gadis berharap dia sedang berada pada suasana itu. Ingin dia meluahkan apa yang ada di dalan hatinya buat insan yang bertakhta di hatinya. namun, gadis itu sedar dia hanya mampu memendam perasaannya kerana hingga kini dia tak punya kekuatan untuk berterus terang pada insan itu. dia hanya mampu memndamkannya dan berharap agar suatu hari nanti, insan itu menyedari getaran cinta di hatinya. Tatkala melihat pasangan itu, hatinya berdoa agar kebahagiaan sentiasa mengiringi kedua pengantin tadi dan semoga Allah memberikannya kekuatan untuk terus bersabar menanti saat tibanya hari yang membahagiakan buat dirinya.
Gadis itu merenung jauh ke hadapan. Fikirannya menerawang seakan mengikut hembusan bayu yang bertiup. Perasaannya seakan melayang jauh dan dikala itu gadis itu teringat luahan hati ibunya. "Ibu selalu berdoa agar puteri ibu dipermudahkan urusan dunia dan akhirat. Ibu selalu mohon pada Yang Esa agar anak ibu ditemukan jodoh dengan seorang lelaki yang beriman, bertanggungjawab, yang boleh membimbing dan melindungi anak ibu. Ibu berdoa agar puteri ibu dipermudahkan urusan jodohnya sebab ibu sangat berharap ibu dapat menyaksikan saat ayah dan ibu menyerahkan puteri ibu ni ke dalam tanggungjawab suaminya." Bergenang manik jernih di kelopak mata gadis itu. Hatinya menangis namun sengaja dia memaniskan wajahnya di hadapan ibunya. Ibu, andai sahaja ibu tahu apa yang ada dalam hati anakmu ini. Gadis itu hanya mampu berdoa dan menanti akan tibanya saat yang diharapkan ayah dan ibunya.
Gadis itu masih mengharapkan agar suatu hari doanya terjawab dan penantiannya berakhir. Gadis itu terus menanti dan menanti dan dalam penantiannya itu dia masih memendamkan sebuah cinta dan airmata buat seorang insan yang telah mencuri hatinya itu...

11 May 2010
Tg Malim

Penantian Sekeping Hati

Di sebalik keheningan malam, sekeping hati bersendiri merenung ke langit. Di saat itu, terlihat olehnya jutaan bintang yang berkerdip indah memenuhi dada langit. Hati itu merasa amat tenang melihat jutaan bintang itu kerana bintang-bintang itu telah menghasilkan pelbagai corak indah ibarat sebuah lukisan yang mempunyai makna tersendiri. Hati itu cuba menafsir corak yang terhasil, namun apa yang terdaya olehnya hanya melihat dan memuji ciptaan Ilahi. Hati itu tak lekang dari kalimat suci mengagungkan kebesaran Ilahi. Terasa secebis ketenangan dan kedamaian menular ke setiap penjuru hati itu. Biarpun pada satu saat, hati tu bergelora memendam rasa namun tatkala melihat keagungan ciptaan Ilahi, gelora itu hilang seolah dibawa pergi oleh angin malam yang menyapa. Terlupa seketika hati itu akan kepedihan luka yang dialaminya dan hati itu mengharapkan agar malam tidak cepat berlalu kerana hati itu belum puas menikmati keindahan malam yang ditaburi butiran bintang di dada langit.
Tatkala fajar mula meyinsing, kicauan burung yang bertebaran di dada langit mulai kedengaran, sekeping hati itu masih di situ memerhatikan terbitnya mentari pagi. Hati itu mengagumi sang matahari kerana sentiasa terbit tanpa jemu menerangi alam. Kehadiran mentari pagi itu sangat mengasyikkan. Hati itu terhibur mendengar kicauan burung yang bertebaran di dada langit memulakan permusafiran mereka demi sebuah penghidupan. Sekeping hati itu merasakan terbitnya mentari pagi seakan membawa petanda betapa sinar harapan akan sentiasa wujud disebalik kegelapan dan kesamaran malam.
Biarpun mentari pagi kian meninggi, sekeping hati itu masih setia di sudut itu memerhatikan mentari yang kini mulai tinggi. Semakin lama, bahang kepanasan kian terasa. Namun hati itu masih terus di situ memerhatikan alam. Biarpun kepanasan sinaran mentari menggigit, hati itu tetap di situ. Baginya, apalah ada pada gigitan kepanasan mentari kerana hati itu pernah merasakan kepedihan yang lebih, pernah merasa kelukaan yang dalam. Malah parut keduanya masih ada pada sekeping hati itu. setiap parut itu punya cerita yang tersendiri.
Sedang hati itu melihat alam, gumpalan awan mendung berarak di kaki langit. Mega suram mulai menghiasi dada langit. Cahaya mentari yang tadinya tajam menikam, kini tidak terasa lagi. Kesuraman awan mendung menimbulkan sedikit kesedihan pada sekeping hati seolah awan mendung itu mengerti gelora yang melanda hati itu. Awan mendung kini menutupi sang mentari yang tadinya galak bersinar. Sekeping hati itu tetap di situ sambil mencari kemana perginya sang mentari. Titik-titik hujan mula berguguran dan hati itu masih setia di situ mengharapkan sang mentari akan muncul kembali. Titisan hujan kian melebat seolah ingin menyatakan bahawa inilah titisan airmata yang selama ini terpendam di dalam hati itu. Andai hati tiu tak mampu untuk menangis, biarlah alam yang menangis untuknya. Dalam kebasahan hujan, hati itu tetap di situ menanti bilakah mentari akan muncul kembali.
Titisan hujan kian mereda dan akhirnya berhenti namun, awan mendung itu masih di situ. Suasana masih suram dan muram. Hati itu yang kini kebasahan, masih terus menanti. Di sebalik awan kelabu itu, sinaran mentari mula muncul kembali. awan mendung mula berarak pergi seakan mengerti bahawa hati itu menantikan mentarinya untuk bersinar kembali. Dengan penuh harapan, hati itu mendongak ke langit mencari kelibat sang mentari. Terukir senyuman pada wajah hati itu tatkala melihat, sang mentari bukan sahaja telah muncul kembali malah ia ditemani sang pelangi indah yang berseri... Namun, hati itu mengerti hadirnya sang mentari ditemani sang pelangi takkan lama kerana itu ketentuanNya. Hati itu redha akan hakikat bahawa wujudnya dia di dunia ini adalah kerana belas ihsan dariNya. wujudnya mentari dan pelangi adalah atas ihsanNya dan perginya keduanya adalah keranaNya...

30 April 2010

Tg Malim

Cinta & Air Mata

Seorang gadis sering berharap agar suatu hari nanti akan ada seorang lelaki hadir di dalam hatinya dan berharap agar lelaki itu bisa mengajar dia erti sebuah cinta. Di dalam lingkungan rakan-rakannya, gadis itu masih bersendiri tanpa ada insan yang istimewa. Adakalanya gadis itu cemburu melihat kebahagiaan rakan-rakannya disamping seorang insan yang bergelar suami. Di dalam hatinya terdetik, bilakah saat bahagia itu akan menjelma buat dirinya? Bilakah dia akan menjadi seperti sahabat-sahabatnya, bergelar seorang isteri dan seorang ibu? Di dalam hatinya, perasaan untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang terbaik buat suami dan anak-anak sentiasa meluap-luap namun apakan daya, sehingga ke saat ini, gadis itu hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti dia jua bakal bergelar isteri dan ibu.
Sehinggalah suatu hari, gadis itu berkenalan dengan seorang jejaka. Pada mulanya tiada apa yang menarik pada jejaka itu pada pandangan mata gadis itu kerana mereka tidak pernah bertegur sapa kerana pada hemat gadis itu adalah tidak manis andai dia yang memulakan langkah. Semakin lama, timbul satu perasaan yang sukar untuk dimengertikan di hati gadis itu terhadap jejaka itu apatah lagi setelah si jejaka mula menegurnya. Pada mulanya gadis itu cuba untuk menafikan perasaan yang hadir kerana dia tahu apalah yang istimewa pada dirinya untuk mempunyai perasaan itu terhadap seorang lelaki sepertinya. Lelaki itu punya segalanya, punya kelebihan yang selayaknya hanya gadis yang punya pakej lengkap sahaja layak berdamping dengan lelaki itu. Gadis itu menyedari hakikat dirinya lalu disimpan sahaja perasaan yang kian bercambah dihatinya itu. Gadis itu hanya mampu memerhatikan lelaki yang dicintai itu dari kejauhan dan hanya mampu berharap agar suatu hari nanti lelaki itu menyedari akan getaran cinta yang ada dihatinya.
Hari kian berganti, musim pun berlalu, gadis itu masih terus menanti akan petanda dari lelaki yang dicintai dalam diam. Gelora di hatinya kian parah. Hati gadis itu kian bergelora sehinggakn pada suatu saat gadis itu menangis sendirian dek kerana tidak tertahan menanggung perasaannya. Disaat dia dalam keresahan, mujur sahabatnya sering menasihati dan memberikan kekuatan padanya. Sahabatnya sering menasihati agar gadis itu berterus-terang namun gadis itu malu. Baginya, adalah tidak molek untuk seorang gadis berlebih-lebih sedangkan lelaki itu mungkin tidak mempunyai sebarang perasaan padanya. Alngkah malunya andai gadis itu hanya bertepuk sebelah tangan dan gadis itu tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Cukuplah apa yang pernah hatinya rasai. Hatinya pernah terluka dan dia bimbang andai dia terluka lagi.
Gadis itu masih berhubungan dengan lelaki yang dicintainya atas dasar kawan namun dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu. Di saat lelaki itu mengatakan bahawa dia bersama gadis lain, hati gadis itu terluka, perasaan cemburu dan kecewa hadir menambahkan pedih luka di hatinya. Namun dimaniskan wajahnya, digembirakan tona suaranya seolah tiada apa. Namun dihatinya, dia menangis hiba. Dalam hatinya dia merintih duka. Apakah lelaki itu sedikit pun tidak menyedari perasaan yang ada di hati gadis itu untuknya? Gadis itu hanya mampu tersenyum lesu di sebalik tangisan kelukaan di hatinya. Dikuatkan semangat agar tiada manik jernih gugur di hadapan lelaki itu. Biarlah dia menangis bersendirian kerana selama ini gadis itu telah terbiasa untuk menangis sendiri merawat lukanya sendiri.
Kini, gadis itu hanya mampu berdoa pada Ilahi agar dia diberi kekuatan untuk menghadapi semuanya. Gadis itu berdoa andai sememangnya lelaki itu bukan untuk dia, Tuhan kurniakan kekuatan buatnya untuk redha dengan segalanya. Namun, andai lelaki yang dicintainya dalam diam itu sememangnya telah tercipta untuknya, Tuhan kurniakannya kekuatan untuk terus bersabar menanti tibanya saat lelaki itu menyedari cinta yang ada dihatinya. Dalam penantian gadis itu, dia memendamkan sebuah cinta dan airmata...

29 April 2010

Tg Malim

Hati ini

Mengapa perasaan halus itu hadir di saat hati ini masih cuba untuk mencari sebuah kepastian? Mengapa begitu kuat perasaan ini menikam jiwa ini di kala hati ini cuba untuk menilai di antara dua? Betapa pedih dan sakitnya hati ini menanggung badai yang melanda. seakan lemas hati ini, menggapai mencari ruang untuk bernafas, mencari tempat untuk berpaut agar tidak terus hanyut dan akhirnya tenggelam kelemasan dalam arus yang bergelora. Sukarnya untuk hati ini bertahan. Apakah yang harus hati ini lakukan? apakah dengan membuang keduanya dari hati ini, badai dan gelora akan berakhir? Namun tiadalah daya hati ini untuk menafikan perasaan cinta dan rindu yang hadir. Makin hati ini mencuba untuk membuang semuanya, makin perasaan itu hadir dan mencengkam kuat dasar hati ini. Hati ini tidak mahu melukakan, tidak mahu menyakiti kerana hati ini tahu betapa pedihnya andai terluka, betapa sakitnya andai disakiti. hati ini pernah terluka dan pernah disakiti. hati ini mengambil masa yang agak lama untuk sembuh kerana lukanya teramat dalam. Hati ini tidak mahu dua hati yang disayangi merasai apa yang pernah dirasai. Andai itu yang terjadi, hati ini akan lebih terluka. Terluka kerana melihat dua hati itu terluka. terluka kerana melihat dua hati itu menderita. Hati ini akan bahagia tatkala melihat keduanya bahagia. biarpun andai nanti bahagia itu bukan bersama hati ini. Andai itu yang terjadi, hati ini redha kerana hati ini percaya apabila menyintai seseorang hati ini harus rela melepaskannya pergi andai itu takdirnya kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Biarpun terluka, hati ini akan berusaha untuk terus tersenyum. hati ini percaya CINTA yang suci adalah cinta yang diberi tanpa mengharap balasan. Cinta yang suci memerlukan pengorbanan. Cinta yang suci ibarat cinta sang mentari yang tanpa jemu memberikan cahayanya di segenap penjuru alam. Ibarat sang pelangi yang hadir dibalik awan mendung, biarpun hanya sekejap cuma namun kehadirannya membahagiakan. Ibarat pantai yang tetap setia menanti kehadiran sang ombak biarpun kehadiran ombak itu mungkin mengubah pantai. Begitu jualah dengan sekeping hati ini.

23 April 2010
Tg Malim

Rahsia Sekeping Hati

Dalam kehidupan ini, setiap insan tidak dapat lari dari menghadapi bermacam rintangan dan dugaan yg sering melibatkan persoalan hati dan perasaan. Adakalanya persoalan hati dan perasaan itu menagih pengertian dan penafsiran dalam sebuah penilaian. Namun, mampukah persoalan itu dirungkai andai tiada petanda yang dapat dijadikan sebagai satu tapak untuk penafsiran. Apatah lagi apabila persoalan hati dan perasaan itu membabitkan sebuah hubungan yg dinamakan CINTA. Apabila CINTA mulai menghuni di sudut hati, ingin diluahkan tiadalah berdaya kerana belum tentu CINTA itu akan bersambut. Semakin lama, perasaan RINDU pun mula bertamu tatkala hati sering mengingati si dia. Ingin diluahkan terasa malu kerana belum tentu RINDU ini akan berbalas. Adakalanya, hati ini meragui diri sendiri kerana seolah mengharapkan sesuatu yang mungkin diluar kemampuan. Hati ini adakalanya tertanya, "adakah dia bisa menerima diri ini seadanya dan mampukah aku menjadi pasangan yg terbaik buatnya di dunia dan akhirat?"
Setiap kali mata ini dipejam, mengapa wajahnya yang sering hadir? Seringkali fikiran ini melayang, mengapa dirinya yang terbayang di ruang mata? Adakah ini petanda bahawa hati ini sememangnya MENYINTAI dirinya? atau apakah perasaan yang hadir ini hanyalah ILUSI? Sering perasaan CEMBURU hadir pabila melihat dia bersama wanita lain berbual mesra namun wajarkah perasaan itu hadir? Apakah CEMBURU itu cemburu seorang TEMAN? atau cemburu seorang gadis yang menyintai dia dalam diam? Alangkah pedihnya menahan perasaan hati ini. Apakah mampu hati ini bertahan untuk menyintai dalam diam? Duhai hati bertahanlah...

22 April 2010
Tg Malim

Mengapa ini yang berlaku?

Bumi ini dulunya indah berseri. Pelbagai warna indah menghiasinya. Pelbagai melodi indah menjadi dendangan yang menghiburkan. Kicauan burung dan unggas menceriakan alam. Sinaran mentari menjadi rahmat yang paling bernilai. Curahan hujan menjadi rahmat yang menyuburkan dan menyejukkan. Kebiruan laut dan langit amat mendamaikan. Hembusan bayu menyegarkan dan suara tawa kanak-knak bermain adalah melodi indah. Manusia saling menyayangi dan menghormati. Nilai kemanusiaan masih menebal di sanuari.

Namun, kini semuanya telah berubah. Dunia kian ketandusan. Telah hilang keseriannya dan yang tinggal hanyalah kesuraman dan kemuraman. Makin hilang kehijauan dedaunan, warna ceria bungaan dan pelangi dan kebiruan laut dan langit serta keputihan awan kian pudar. Dunia kini telah hilang suara tawa keriangan dan hanya tangisan pilu yang kedengaran. Kicauan riang burung dan unggas kini bukan lagi melodi indah yang menghiburkan. yang kedengaran kini hanyalah suara kerakusan dan amarah yang membingitkan.

Manusia kian pupus dengan nilai kemanusiaan dan kasih sayang. Perasaan saling menghormati kini kian terhakis. Hanya perasaan tamak, bongkak, dendam dan amarah makin bermaharajalela. saling membenci dan mendendami kian menebal. tangisan pilu dan sedih kian kedengaran menjadi dendangan di halwa telinga. Manusia kian buta dan pekak. Manusia tdak lagi melihat kepada kebenaran tetapi berpegang pada kejahilan dan kebatilan. Manusia tidak lagi mendengar keikhlasan, tetapi berdendang pembohongan. Tangan dihulurkan bukan lagi untuk membantu tapi untuk menjatuhkan dan membunuh. Semakin manusia maju ke hadapan mengejar arus pemodenan, semakin manusia menuju ke arah kemunduran nilai insani.

Bumi kini menangis kesakitan dan kepiluan. Kicauan burung dan unggas bermelodi pilu. Tawa riang kanak-kanak berganti tangisan. Sampai bila semuanya akan berterusan? Hati ini merintih mengharapkan ianya berakhir..

Musafir cinta ini meneruskan langkah perjalanan hidupnya mencari secebis ruang untuk berkongsi rasa cinta dan rindunya pada kedamaian...

20 February 2010
Tg Malim

Lukisan Kehidupan

Hidup ini ibarat sekeping kanvas putih yang kosong tanpa ada sebarang corak atau warna di saat seorang insan itu dilahirkan ke dunia ini. Lakaran pertama di atas kanvas putih ini bermula tatkala insan itu mula mengenal dunia dengan memulakan langkah pertama dalam perjalanan hidupnya. Selangkah dia melangkah, segaris lakaran melakari kanvas hidupnya dan semakin jauh dia melangkah, semakin banyak lakaran yang wujud dan akhirnya menghasilkan pelbagai corak yang mengandungi pengertian yang tersendiri. Semakin seseorang itu mengenal dunia ini, kanvas hidupnya mula diwarnai dengan pelbagai warna kehidupan. Setiap warna yang mewarnai kanvas itu mengisahkan pelbagai kisah yang dialami oleh seseorang itu.

Kian hari, kanvas putih yang dulunya kosong tanpa seri kini telah menjadi sebuah lukisan indah yang menceritakan setiap kisah suka dan duka, pahit dan manis yang telah dilalui oleh pemiliknya di sepanjang perjalanan hiudpnya. Adakalanya corak atau warna yang wujud di atas kanvas itu telah dicorakkan atau diwarnakan oleh insan lain yang pernah mengasihi atau menyintai pemilik kanvas itu. Dan ada jua corak atau warna yang wujud rentetan daripada pengalaman yang diperolehi melalui pengamatan si pemilik terhadap sekelilingnya.

Lukisan indah kehidupan itulah yang akhirnya menjadi sekeping karya agung yang tiada tandingnya. Tidak ada harga yang boleh menggantikan karya agung tersebut kerana lukisan kehidupan seseorang itu mempunyai nilai yang tersendiri dan uniki. Hanya pemilik kanvas lukisan kehidupan itu sahaja yang mampu memilikinya. Ianya tidak dapat ditukar ganti atau dijual beli namun ianya boleh dikongsikan bersama selagi ada yang mahu bersama menghayati pengertian falsafah disebalik sekeping kanvas lukisan kehidupan seorang insan.

20 Febuari 2010
Tg Malim

Si Musafir Muda

Perjalanan hidup ini bermula dengan satu langkah kecil seorang musafir muda yang baru hendak mengenal dunia di sekelilingnya. Satu langkah kecil yang penuh dengan kepayahan kerana masih memerlukan tangan lain memimpinnya bertatih untuk memulakan perjalanan hidup ini. Saat ini, musafir muda itu masih memerlukan bimbingan untuk melangkah. masih memerlukan sokongan untuk berdiri sendiri. Andai tiada tangan yang memimpin atau memegangnya, nescaya jatuhlah si musafir muda itu. dan jatuhnya dia dalam langkahnya, menghadirkan garis-garis kecil luka yang mungkin akan meninggalkan parut untuk selamanya atau mungkin garis-garis kecil luka itu hilang tanpa sebarang kesan.Namun, musafir muda itu berusaha lagi untuk bangun meneruskan langkahnya, dia terus belajar melangkah hingga masa terus berlalu, musafir muda itu kini telah mula berlari. Langkah lariannya penuh semangat dan tenaga seiring dengan jiwanya yang sentiasa mahu bebas meneroka segenap penjuru alam. kini tiada lagi tangan yang memimpinnya, tiada lagi tangan yang memegangnya seperti dulu kerana musafir muda itu telah pandai berdiri dan berlari semahu hatinya. Baginya, langkah lariannya adalah haknya yang hakiki dan hanya dia yang berhak menentukan langkah lariannya sendiri.
Namun,dalam langkah lariannya, musafir muda itu sering khilaf dalam langkah lariannya menyebabkan dia sering tersungkur. tersungkurnya dia akibat kelalaiannya menilai lorong lariannya. terjatuhnya dia adalah kerana teralpa pada halangan yang setia menantinya di sepanjang lorong. terjatuhnya dia adalah dek kerana kekhilafannya meletakkan keyakinannya.Namun, musafir muda ini tidak pernah berhenti berlari walaupun kesakitan akibat terjatuh atau tersungkur masih jelas terasa dan luka-lukanya mungkin belum sembuh sepenuhnya. Dia terus berlari di lorongnya dengan harapan lariannya itu nanti akan sampai ke penghujungnya.
Semakin lama dan semakin jauh dia berlari di lorong kehidupannya, musafir muda kini mula kepenatan. langkah lariannya mula perlahan, semakin perlahan dan akhirnya dia tiada lagi terdaya meneruskan lariannya. dalam hatinya terdetik sampai bila dia harus berlari mengejar sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. di pandangnya ke hadapan lorong, namun dia masih tidak dapat melihat penghujung lorongnya. hatinya mula bertanya, ada kah penghujung lorong itu nanti menghadirkan sesuatu yang berharga buat dirinya andai dia meneruskan langkah lariannya?
Tatkala dia berhenti dari meneruskan langkahnya, di pandang sekelilingnya, tika itu, si musafir muda itu baru menyedari betapa indahnya pemandangan sekelilingnya. terkesima sebentar si musafir muda. di tolehnya ke belakang, tergamam si musafir muda pabila melihat begitu banyak pemandangan indah di belakangnya. terdetik di hatinya, mengapa dia tidak pernah terfikir untuk berhenti dari terus berlari sekadar sebentar untuk menikmati keindahan semua itu? timbul kekesalan di hati si musafir muda akan kealpaannya selama ini. terduduk si musafir muda dengan penyesalan. ingin berpatah ke belakang, terlalu jauh telah dia berlari meninggalkan semua pemandangan yang indah itu dan si musafir muda itu tidak berdaya.
setitis demi setitis mutiara jernih berguguran membasahi pipi si musafir muda. saat ini si musafir muda terfikir, betapa ruginya dia kerana leka berlari tanpa mahu berhenti seketika menikmati keindahan dunia yang dikurniakan Ilahi. Betapa dia menyesal kerana kini baru dia menyedari kekhilafannya. sepanjang pelariannya, tidak pernah sekali pun dia berhenti untuk menghargai keindahan ciptaan Ilahi. tidak pernah sekali pun dia berhenti barang seketika untuk bersujud memuji dan mengagungkan kebesaran Ilahi. luluh hatinya memikirkan akan segala kesalahan dan kesilapan yang telah dia lakukan. terasa di bahunya bebanan dosa yang menggunung di atas kekhilafannya. betapa dia menyedari yang dia telah mengkufuri nikmat yang di anugerahkan Ilahi ke atasnya.
tatkala si musafir muda itu menangis semahunya, dirasakannya sentuhan lembut di bahunya. musafir muda mendongak dan terlihatnya olehnya satu wajah yang mendamaikan. wajah yang tenang dan membahagiakan. seorang musafir tua memimpin musafir muda yang dalam kesedihan bangun berdiri. dipujuknya si musafir muda agar tidak terus menangis dan tenggelam dalam lautan penyesalan. Dengan lembut, si musafir tua itu memimpim tangan si musafir muda untuk meneruskan langkah maju ke hadapan.si musafir muda terus melangkah dalam pimpinan musafir tua itu.
kedua-duanya meneruskan langkah di lorong yang sama. di sepanjang perjalanan itu, si musafir muda telah mempelajari banyak perkara yang sebelum ini tidak pernah dia endahkan tika dia asyik dengan lariannya. Si musafir muda kini mula menghayati segala keindahan yang terbentang luas di bumi Ilahi. kini dia menghargai nikmat yang dianugerahi oleh Ilahi kepada hamba-hambaNya. Musafir muda kini mulai merasakan kenikmatan yang tidak pernah dia kecapi sebelum ini. betapa hatinya gembira dan bersyukur kerana dia berpeluang untuk menikmati semuanya sebelum terlambat. betapa hatinya bersyukur dipertemukan dengan seorang musafir tua yang telah memimpinnya tatkala dia hanyut dan lemas dalam lautan penyesalan. Kini, perjalanannya diteruskan bersama musafir tua dengan penuh keredhaan dan keinsafan. si musafir muda kini mengerti, dalam perjalanan hidup ini, larian akan mempercepatkan kita tiba di destinasi yang dituju namun kejayaan menuju ke destinasi itu akan bermakna andai kita lupa untuk bersujud padaNya?
Akan bermaknakah kejayaan itu andai di sepanjang langkah perjalanan, kita mengabaikan segalanya dan kita mengkufuri segala nikmat yang telah ALLAH kurniakan?
Sesungguhnya, perjalanan hidup yang bermakna adalah perjalanan hidup yang dilalui dengan penuh rasa kesyukuran dan keredhaan biarpun perjalanan hidup itu mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi.Biarlah setiap langkah yang diambil untuk memulakan dan meneruskan perjalanan itu sentiasa ditemani dengan keberkatan dan keredhaan dari Ilahi.
Andai ikhlas memulakan langkah hanya untuk mencari keredhaanNya, perjalanan hidup ni akan terasa lebih indah dan bermakna...

22 Disember 2009
Tg Malim

Kenangan Terindah

Setiap manusia mempunyai kenangan mereka yg tersendiri samada kenangan manis, pahit, suka atau duka...Setiap kenangan mempunyai cerita yg unik yang bila dikenang kembali melahirkan satu perasaan syahdu yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.Teringat kembali kenangan ketika zaman persekolahan terutamanya ketika di SM ST JOHN TUARAN. Dari Tingkatan Satu sehinggalah Tingkatan 4 (hanya beberapa bulan), begitu banyak kenangan yang tercipta bersama rakan2. andai dapat diulang saat itu, pasti takkan aku lepaskannya... MRSM KUCHING turut memberikan pengalaman tinggal di asrama... banyak juga kenangan di sana.. Itu baru bercerita tentang sekolah menengah, belum masuk sekolah rendah.. SK KEPAYAN, sekolah rendahku yang banyak menyimpan segala cerita ketika aku meningkat remaja..
Setiap kenangan yang terbit di kotak fikiranku membuatkan aku tersenyum sendiri dan adakalanya menangis sendiri... Mengingatkan aku kembali kepada rakan2 yang telah lama terpisah... Membuatkan aku ingin berjumpa dengan mereka dan berkongsi cerita, mengimbau kembali setiap kenangan yang kami cipta bersama. Setiap rakan ku kini telah mempunyai cerita mereka yang tersendiri... ada yang telah berkeluarga, ada yang bakal mendirikan rumahtangga dan ada juga yang bakal menerima kehadiran cahaya mata baru... siapa akan menyangka rakan ku yang bercinta sejak zaman persekolahan akhirnya telah mendirikan rumahtangga bersama... satu percintaan yang kukuh walaupun masa terus berlalu...aku sangat mengagumi percintaan mereka yang bertahan walau dilanda seribu badai kehidupan...
Buat semua sahabat2 ku samada di SM ST JOHN, SK KEPAYAN, MRSM KUCHING, UITM SHAH ALAM, UITM DUNGUN dan tak lupa buat sahabat2 sepeguruanku dalam SILAT CEKAK HANAFI, kalian telah memberikan aku satu hadiah yang amat berharga yang tidak dapat ditukarganti dengan apapun di dunia ini... kehadiran kalian dalam hidup ku telah menyerikan lagi kanvas lukisana hidup ini... kalian telah mewarnai lukisan hidup ku dengan warna2 indah dan TERIMA KASIH atas segalanya...Tanpa kalian hidupku suram tanpa warna PERSAHABATAN yg indah...

Tangisan

Permulaan sebuah kehidupan bermula dengan tangisan dan akhirnya turut berakhir dengan tangisan. Sepanjang kehidupan anak Adam di dunia ini tangisan adalah peneman setia dalam menzahirkan setiap perasaan yang hadir. Ada tangisan gembira, ada yang duka, ada yang mengandungi amarah dan walau apapun emosi yang wujud dalam tangisan itu, ianya mempunyai kisah unik yang tersendiri yang adakalanya sukar untuk ditafsirkan. Seringkali, tangisan dikaitkan dengan WANITA namun, tanpa anak Adam sedari, TANGISAN bukanlah hak hakiki seorang insan yang bergelar WANITA kerana insan yang bernama LELAKI jua akan menitiskan airmata. Seorang SUAMI mungkin akan menitiskan airmata KESYUKURAN tatkala mengucupi dahi ISTERI tercinta untuk menzahirkan rasa CINTA yang ada di dalam hati. Seorang AYAH mungkin menitiskan airmata KEGEMBIRAAN tatkala menyambut SI KECIL dalam pangkuan untuk didengarkan KALIMAH SUCI. Seorang ANAK mungkin akan menitiskan airmata KESALAN, KESEDIHAN andai IBU dan AYAH pergi ke Pangkuan ILAHI tanpa sempat untuk dia menaburkan BAKTI buat KEDUANYA. Seorang HAMBA pasti akan menangis tatkala mengenangkan segala amal PAHALA dan DOSAnya pada YANG MAHA KUASA. Cukupkah? Diterimakah segala AMALAN oleh TUHAN YANG MAHA PENGAMPUN? Tangisan insan yang bergelar LELAKI amat MAHAL harganya, namun tangisan insan yang bergelar WANITA amat berkuasa dalam segalanya. Usah takut untuk menangis kerana TANGISAN merupakan satu NIKMAT yang dianugerahkan ILAHI buat hambaNYA. TANGISAN bukan tanda KELEMAHAN, kerana TANGISAN mungkin tanda KEKUATAN. Adakalanya, TANGISAN menjadi sumber kekuatan untuk bangkit kembali setelah tersungkur, namun TANGISAN jua bisa menjadi SENJATA AMPUH yang menjatuhkan...
Betapa indahnya TANGISAN KURNIAAN ILAHI