About Me

My photo
"Hanya seorang musafir muda yang mengembara di bumiNya dalam mencari Cinta Yang Hakiki"

Friday, January 14, 2011

Penantian Sekeping Hati

Di sebalik keheningan malam, sekeping hati bersendiri merenung ke langit. Di saat itu, terlihat olehnya jutaan bintang yang berkerdip indah memenuhi dada langit. Hati itu merasa amat tenang melihat jutaan bintang itu kerana bintang-bintang itu telah menghasilkan pelbagai corak indah ibarat sebuah lukisan yang mempunyai makna tersendiri. Hati itu cuba menafsir corak yang terhasil, namun apa yang terdaya olehnya hanya melihat dan memuji ciptaan Ilahi. Hati itu tak lekang dari kalimat suci mengagungkan kebesaran Ilahi. Terasa secebis ketenangan dan kedamaian menular ke setiap penjuru hati itu. Biarpun pada satu saat, hati tu bergelora memendam rasa namun tatkala melihat keagungan ciptaan Ilahi, gelora itu hilang seolah dibawa pergi oleh angin malam yang menyapa. Terlupa seketika hati itu akan kepedihan luka yang dialaminya dan hati itu mengharapkan agar malam tidak cepat berlalu kerana hati itu belum puas menikmati keindahan malam yang ditaburi butiran bintang di dada langit.
Tatkala fajar mula meyinsing, kicauan burung yang bertebaran di dada langit mulai kedengaran, sekeping hati itu masih di situ memerhatikan terbitnya mentari pagi. Hati itu mengagumi sang matahari kerana sentiasa terbit tanpa jemu menerangi alam. Kehadiran mentari pagi itu sangat mengasyikkan. Hati itu terhibur mendengar kicauan burung yang bertebaran di dada langit memulakan permusafiran mereka demi sebuah penghidupan. Sekeping hati itu merasakan terbitnya mentari pagi seakan membawa petanda betapa sinar harapan akan sentiasa wujud disebalik kegelapan dan kesamaran malam.
Biarpun mentari pagi kian meninggi, sekeping hati itu masih setia di sudut itu memerhatikan mentari yang kini mulai tinggi. Semakin lama, bahang kepanasan kian terasa. Namun hati itu masih terus di situ memerhatikan alam. Biarpun kepanasan sinaran mentari menggigit, hati itu tetap di situ. Baginya, apalah ada pada gigitan kepanasan mentari kerana hati itu pernah merasakan kepedihan yang lebih, pernah merasa kelukaan yang dalam. Malah parut keduanya masih ada pada sekeping hati itu. setiap parut itu punya cerita yang tersendiri.
Sedang hati itu melihat alam, gumpalan awan mendung berarak di kaki langit. Mega suram mulai menghiasi dada langit. Cahaya mentari yang tadinya tajam menikam, kini tidak terasa lagi. Kesuraman awan mendung menimbulkan sedikit kesedihan pada sekeping hati seolah awan mendung itu mengerti gelora yang melanda hati itu. Awan mendung kini menutupi sang mentari yang tadinya galak bersinar. Sekeping hati itu tetap di situ sambil mencari kemana perginya sang mentari. Titik-titik hujan mula berguguran dan hati itu masih setia di situ mengharapkan sang mentari akan muncul kembali. Titisan hujan kian melebat seolah ingin menyatakan bahawa inilah titisan airmata yang selama ini terpendam di dalam hati itu. Andai hati tiu tak mampu untuk menangis, biarlah alam yang menangis untuknya. Dalam kebasahan hujan, hati itu tetap di situ menanti bilakah mentari akan muncul kembali.
Titisan hujan kian mereda dan akhirnya berhenti namun, awan mendung itu masih di situ. Suasana masih suram dan muram. Hati itu yang kini kebasahan, masih terus menanti. Di sebalik awan kelabu itu, sinaran mentari mula muncul kembali. awan mendung mula berarak pergi seakan mengerti bahawa hati itu menantikan mentarinya untuk bersinar kembali. Dengan penuh harapan, hati itu mendongak ke langit mencari kelibat sang mentari. Terukir senyuman pada wajah hati itu tatkala melihat, sang mentari bukan sahaja telah muncul kembali malah ia ditemani sang pelangi indah yang berseri... Namun, hati itu mengerti hadirnya sang mentari ditemani sang pelangi takkan lama kerana itu ketentuanNya. Hati itu redha akan hakikat bahawa wujudnya dia di dunia ini adalah kerana belas ihsan dariNya. wujudnya mentari dan pelangi adalah atas ihsanNya dan perginya keduanya adalah keranaNya...

30 April 2010

Tg Malim

No comments:

Post a Comment