About Me

My photo
"Hanya seorang musafir muda yang mengembara di bumiNya dalam mencari Cinta Yang Hakiki"

Friday, January 14, 2011

Cinta & Air Mata

Seorang gadis sering berharap agar suatu hari nanti akan ada seorang lelaki hadir di dalam hatinya dan berharap agar lelaki itu bisa mengajar dia erti sebuah cinta. Di dalam lingkungan rakan-rakannya, gadis itu masih bersendiri tanpa ada insan yang istimewa. Adakalanya gadis itu cemburu melihat kebahagiaan rakan-rakannya disamping seorang insan yang bergelar suami. Di dalam hatinya terdetik, bilakah saat bahagia itu akan menjelma buat dirinya? Bilakah dia akan menjadi seperti sahabat-sahabatnya, bergelar seorang isteri dan seorang ibu? Di dalam hatinya, perasaan untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang terbaik buat suami dan anak-anak sentiasa meluap-luap namun apakan daya, sehingga ke saat ini, gadis itu hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti dia jua bakal bergelar isteri dan ibu.
Sehinggalah suatu hari, gadis itu berkenalan dengan seorang jejaka. Pada mulanya tiada apa yang menarik pada jejaka itu pada pandangan mata gadis itu kerana mereka tidak pernah bertegur sapa kerana pada hemat gadis itu adalah tidak manis andai dia yang memulakan langkah. Semakin lama, timbul satu perasaan yang sukar untuk dimengertikan di hati gadis itu terhadap jejaka itu apatah lagi setelah si jejaka mula menegurnya. Pada mulanya gadis itu cuba untuk menafikan perasaan yang hadir kerana dia tahu apalah yang istimewa pada dirinya untuk mempunyai perasaan itu terhadap seorang lelaki sepertinya. Lelaki itu punya segalanya, punya kelebihan yang selayaknya hanya gadis yang punya pakej lengkap sahaja layak berdamping dengan lelaki itu. Gadis itu menyedari hakikat dirinya lalu disimpan sahaja perasaan yang kian bercambah dihatinya itu. Gadis itu hanya mampu memerhatikan lelaki yang dicintai itu dari kejauhan dan hanya mampu berharap agar suatu hari nanti lelaki itu menyedari akan getaran cinta yang ada dihatinya.
Hari kian berganti, musim pun berlalu, gadis itu masih terus menanti akan petanda dari lelaki yang dicintai dalam diam. Gelora di hatinya kian parah. Hati gadis itu kian bergelora sehinggakn pada suatu saat gadis itu menangis sendirian dek kerana tidak tertahan menanggung perasaannya. Disaat dia dalam keresahan, mujur sahabatnya sering menasihati dan memberikan kekuatan padanya. Sahabatnya sering menasihati agar gadis itu berterus-terang namun gadis itu malu. Baginya, adalah tidak molek untuk seorang gadis berlebih-lebih sedangkan lelaki itu mungkin tidak mempunyai sebarang perasaan padanya. Alngkah malunya andai gadis itu hanya bertepuk sebelah tangan dan gadis itu tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Cukuplah apa yang pernah hatinya rasai. Hatinya pernah terluka dan dia bimbang andai dia terluka lagi.
Gadis itu masih berhubungan dengan lelaki yang dicintainya atas dasar kawan namun dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu. Di saat lelaki itu mengatakan bahawa dia bersama gadis lain, hati gadis itu terluka, perasaan cemburu dan kecewa hadir menambahkan pedih luka di hatinya. Namun dimaniskan wajahnya, digembirakan tona suaranya seolah tiada apa. Namun dihatinya, dia menangis hiba. Dalam hatinya dia merintih duka. Apakah lelaki itu sedikit pun tidak menyedari perasaan yang ada di hati gadis itu untuknya? Gadis itu hanya mampu tersenyum lesu di sebalik tangisan kelukaan di hatinya. Dikuatkan semangat agar tiada manik jernih gugur di hadapan lelaki itu. Biarlah dia menangis bersendirian kerana selama ini gadis itu telah terbiasa untuk menangis sendiri merawat lukanya sendiri.
Kini, gadis itu hanya mampu berdoa pada Ilahi agar dia diberi kekuatan untuk menghadapi semuanya. Gadis itu berdoa andai sememangnya lelaki itu bukan untuk dia, Tuhan kurniakan kekuatan buatnya untuk redha dengan segalanya. Namun, andai lelaki yang dicintainya dalam diam itu sememangnya telah tercipta untuknya, Tuhan kurniakannya kekuatan untuk terus bersabar menanti tibanya saat lelaki itu menyedari cinta yang ada dihatinya. Dalam penantian gadis itu, dia memendamkan sebuah cinta dan airmata...

29 April 2010

Tg Malim

No comments:

Post a Comment