About Me

My photo
"Hanya seorang musafir muda yang mengembara di bumiNya dalam mencari Cinta Yang Hakiki"

Friday, January 14, 2011

Lukisan Kehidupan

Hidup ini ibarat sekeping kanvas putih yang kosong tanpa ada sebarang corak atau warna di saat seorang insan itu dilahirkan ke dunia ini. Lakaran pertama di atas kanvas putih ini bermula tatkala insan itu mula mengenal dunia dengan memulakan langkah pertama dalam perjalanan hidupnya. Selangkah dia melangkah, segaris lakaran melakari kanvas hidupnya dan semakin jauh dia melangkah, semakin banyak lakaran yang wujud dan akhirnya menghasilkan pelbagai corak yang mengandungi pengertian yang tersendiri. Semakin seseorang itu mengenal dunia ini, kanvas hidupnya mula diwarnai dengan pelbagai warna kehidupan. Setiap warna yang mewarnai kanvas itu mengisahkan pelbagai kisah yang dialami oleh seseorang itu.

Kian hari, kanvas putih yang dulunya kosong tanpa seri kini telah menjadi sebuah lukisan indah yang menceritakan setiap kisah suka dan duka, pahit dan manis yang telah dilalui oleh pemiliknya di sepanjang perjalanan hiudpnya. Adakalanya corak atau warna yang wujud di atas kanvas itu telah dicorakkan atau diwarnakan oleh insan lain yang pernah mengasihi atau menyintai pemilik kanvas itu. Dan ada jua corak atau warna yang wujud rentetan daripada pengalaman yang diperolehi melalui pengamatan si pemilik terhadap sekelilingnya.

Lukisan indah kehidupan itulah yang akhirnya menjadi sekeping karya agung yang tiada tandingnya. Tidak ada harga yang boleh menggantikan karya agung tersebut kerana lukisan kehidupan seseorang itu mempunyai nilai yang tersendiri dan uniki. Hanya pemilik kanvas lukisan kehidupan itu sahaja yang mampu memilikinya. Ianya tidak dapat ditukar ganti atau dijual beli namun ianya boleh dikongsikan bersama selagi ada yang mahu bersama menghayati pengertian falsafah disebalik sekeping kanvas lukisan kehidupan seorang insan.

20 Febuari 2010
Tg Malim

No comments:

Post a Comment