Buat kesekian kalinya, gadis itu menitiskan airmata. Hatinya merintih dan meratap hiba. Hatinya luka lagi. Pedihnya luka itu begitu perit seakan belati tajam yang menghiris. Bisanya menular ke segenap penjuru hatinya. Manik jernih yang gugur kini selebat hujan yang membasahi bumi. Alam seakan mengerti betapa hati gadis itu kini telah terluka lagi dan alam turut sama berlagu hiba, turut sama menangis kerana alam seakan mengerti gadis itu hanya menangis bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Awan mendung mencurahkan segalanya seakan ingin memberitahu gadis itu, dia tidak menangis sendiri. Alam setia menemaninya di saat tiada insan lain di sisinya. Gelora di hati gadis itu membadai, menghanyutkan hati itu dalam arus deras yang pada bila-bila masa mampu melemaskan hati itu dalam lautan kedukaan dan kelukaan.
Gadis itu tidak mampu lagi menanggung bebanan perasaan yang menghimpit hatinya. Makin dia cuba untuk melupakan, makin kuat ingatannya kepada lelaki itu sedangkan gadis itu tahu dia tak mungkin dapat memiliki cinta lelaki itu kerana lelaki itu tidak pernah menyedari kehadiran cintanya. Makin gadis itu cuba membuang jauh rasa cinta itu, semakin kuat getaran cinta itu. Betapa saat ini, gadis itu kian kelemasan dalam lautan perasaannya. Buat kesekian kalinya, gadis itu merasakan kesakitan kelukaan seperti mana yang pernah dialaminya dulu. Betapa hatinya kini telah dilukai oleh insan-insan yang pernah menghuni hatinya. Dahulu dia pernah menyintai sepenuh hati namun hatinya dilukai, cintanya dibuang ke tepi, kesetiaannya tidak dihargai. Saat itu, lukanya begitu dalam dan bertahun gadis itu mengubatinya. Tika itu, gadis itu terfikir, tak mungkin dia mampu menerima sebuah cinta dalam hatinya lagi.
Namun, dia akhirnya akur pada kehendak takdir. Pintu hatinya diketuk oleh perasaan cinta. Perasaan itu hadir buat seorang insan yang tersangat rapat dengannya namun, akhirnya dia terluka lagi kerana mengharap pada seseorang yang hanya menyayanginya sebagai seorang sahabat. Gadis itu akur pada suratan dan dia redha dengan segalanya. Tak mungkin dia dapat miliki cinta dari insan itu kerana lelaki itu kini sedang berbahagia. Gadis itu hanya mampu mendoakan kebahagiaan sahabatnya itu. Buat kedua kalinya, gadis itu merawat luka di hatinya.
Dalam dia merawat luka dihati, hadir seorang insan menghulurkan cintanya. Mulanya, gadis itu ragu untuk menerima kerana takut terluka lagi. Namun melihatkan kesungguhan lelaki itu membawa dia berjumpa keluarganya membuatkan gadis itu yakin akan keikhlasan lelaki itu. Di saat itu, dirinya terasa amat bahagia dan yakin bahawa cinta lelaki itu akan merawat semua luka dihatinya dan gadis itu menghitung detik yang berlalu dengan harapan saat yang selama ini ditunggunya akan tiba. Gadis itu berpegang pada janji yang dilafazkan lelaki itu. Namun, semakin usia hubungan mereka meningkat, gadis itu masih menunggu dan terus menunggu saat untuk lelaki itu menunaikan janjinya. Gadis itu sering bertanyakan janji yang dilafazkan namun akhirnya jawapan yang diterima melukakan hatinya lagi. Gadis itu menangis dan menangis kerana hanya itu yang terdaya dilakukannya. Terbang segala harapan yang dimimpikannya. Pada satu saat, gadis itu terasa hatinya kosong. Biarpun gadis itu menyayangi lelaki itu, namun, perasaan itu kini seakan semakin menjauh. Jauh meninggalkan dirinya. Di kala itu, gadis itu tidak mengharapkan apa-apa lagi kerana baginya cukuplah dengan harapan yang pernah dia impikan yang musnah begitu sahaja dek kerana cinta. Kini hatinya terluka lagi dan lukanya ini kian dalam hinggakan dia merasakan betapa sakitnya kelukaan ini dan ingin sahaja gadis itu pergi jauh membawa diri ke suatu tempat yang baru agar dia bisa melupakan semuanya.
Gadis itu menangis dan terus menangis. Hatinya telah terluka dan semakin lama lukanya semakin dalam. Dan kini luka itu kian parah di saat dia menyedari betapa dia sebenarnya menyintai seseorang yang baru dikenalinya. Biarpun pada awalnya dia menafikan perasaan yang mula bercambah namun perasaan itu kian mengembang bak kuntuman mawar yang sedang memekar harum. Puas dia cuba untuk membuang jauh perasaan itu, namun dia gagal. Wajah lelaki yang baru dikenalinya sentiasa bermain di ruang fikiran. Puas dia cuba untuk melupakan namun makin kuat ianya menghampiri. Gadis itu mengerti kedudukan dirinya untuk menyintai lelaki itu. Siapalah dia untuk berdamping dengan lelaki itu. Apalah yang ada pada dirinya untuk meraih cinta lelaki itu. Masakan lelaki itu akan memandangnya pabila lelaki itu dikelilingi wanita yang jauh lebih cantik dan hebat dari dirinya. Tatkala memikirkan semua itu, hatinya menangis dan merintih.
Kini, gadis itu hanya mampu menangis dan menangis biarpun tangisannya disebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibir. Gadis itu hanya mampu berserah pada Ilahi. Gadis itu kini mengharapkan belas ihsan Ilahi dalam merawat lukanya. Gadis itu tidak putus berdoa agar suatu hari nanti luka dihatinya ini akan sembuh dengan hadirnya sebuah cinta dari seorang insan yang bergelar Suami. Dia akan terus menanti tibanya saat itu biarpun nanti penantiannya itu merupakan sebuah penantian yang panjang. Gadis itu berdoa agar penantiannya itu bakal memberikannya sebuah kemanisan cinta yang kekal selamanya...
20 May 2010
Tg Malim
No comments:
Post a Comment