About Me

My photo
"Hanya seorang musafir muda yang mengembara di bumiNya dalam mencari Cinta Yang Hakiki"

Friday, January 14, 2011

Si Musafir Muda

Perjalanan hidup ini bermula dengan satu langkah kecil seorang musafir muda yang baru hendak mengenal dunia di sekelilingnya. Satu langkah kecil yang penuh dengan kepayahan kerana masih memerlukan tangan lain memimpinnya bertatih untuk memulakan perjalanan hidup ini. Saat ini, musafir muda itu masih memerlukan bimbingan untuk melangkah. masih memerlukan sokongan untuk berdiri sendiri. Andai tiada tangan yang memimpin atau memegangnya, nescaya jatuhlah si musafir muda itu. dan jatuhnya dia dalam langkahnya, menghadirkan garis-garis kecil luka yang mungkin akan meninggalkan parut untuk selamanya atau mungkin garis-garis kecil luka itu hilang tanpa sebarang kesan.Namun, musafir muda itu berusaha lagi untuk bangun meneruskan langkahnya, dia terus belajar melangkah hingga masa terus berlalu, musafir muda itu kini telah mula berlari. Langkah lariannya penuh semangat dan tenaga seiring dengan jiwanya yang sentiasa mahu bebas meneroka segenap penjuru alam. kini tiada lagi tangan yang memimpinnya, tiada lagi tangan yang memegangnya seperti dulu kerana musafir muda itu telah pandai berdiri dan berlari semahu hatinya. Baginya, langkah lariannya adalah haknya yang hakiki dan hanya dia yang berhak menentukan langkah lariannya sendiri.
Namun,dalam langkah lariannya, musafir muda itu sering khilaf dalam langkah lariannya menyebabkan dia sering tersungkur. tersungkurnya dia akibat kelalaiannya menilai lorong lariannya. terjatuhnya dia adalah kerana teralpa pada halangan yang setia menantinya di sepanjang lorong. terjatuhnya dia adalah dek kerana kekhilafannya meletakkan keyakinannya.Namun, musafir muda ini tidak pernah berhenti berlari walaupun kesakitan akibat terjatuh atau tersungkur masih jelas terasa dan luka-lukanya mungkin belum sembuh sepenuhnya. Dia terus berlari di lorongnya dengan harapan lariannya itu nanti akan sampai ke penghujungnya.
Semakin lama dan semakin jauh dia berlari di lorong kehidupannya, musafir muda kini mula kepenatan. langkah lariannya mula perlahan, semakin perlahan dan akhirnya dia tiada lagi terdaya meneruskan lariannya. dalam hatinya terdetik sampai bila dia harus berlari mengejar sesuatu yang dia sendiri tidak pasti. di pandangnya ke hadapan lorong, namun dia masih tidak dapat melihat penghujung lorongnya. hatinya mula bertanya, ada kah penghujung lorong itu nanti menghadirkan sesuatu yang berharga buat dirinya andai dia meneruskan langkah lariannya?
Tatkala dia berhenti dari meneruskan langkahnya, di pandang sekelilingnya, tika itu, si musafir muda itu baru menyedari betapa indahnya pemandangan sekelilingnya. terkesima sebentar si musafir muda. di tolehnya ke belakang, tergamam si musafir muda pabila melihat begitu banyak pemandangan indah di belakangnya. terdetik di hatinya, mengapa dia tidak pernah terfikir untuk berhenti dari terus berlari sekadar sebentar untuk menikmati keindahan semua itu? timbul kekesalan di hati si musafir muda akan kealpaannya selama ini. terduduk si musafir muda dengan penyesalan. ingin berpatah ke belakang, terlalu jauh telah dia berlari meninggalkan semua pemandangan yang indah itu dan si musafir muda itu tidak berdaya.
setitis demi setitis mutiara jernih berguguran membasahi pipi si musafir muda. saat ini si musafir muda terfikir, betapa ruginya dia kerana leka berlari tanpa mahu berhenti seketika menikmati keindahan dunia yang dikurniakan Ilahi. Betapa dia menyesal kerana kini baru dia menyedari kekhilafannya. sepanjang pelariannya, tidak pernah sekali pun dia berhenti untuk menghargai keindahan ciptaan Ilahi. tidak pernah sekali pun dia berhenti barang seketika untuk bersujud memuji dan mengagungkan kebesaran Ilahi. luluh hatinya memikirkan akan segala kesalahan dan kesilapan yang telah dia lakukan. terasa di bahunya bebanan dosa yang menggunung di atas kekhilafannya. betapa dia menyedari yang dia telah mengkufuri nikmat yang di anugerahkan Ilahi ke atasnya.
tatkala si musafir muda itu menangis semahunya, dirasakannya sentuhan lembut di bahunya. musafir muda mendongak dan terlihatnya olehnya satu wajah yang mendamaikan. wajah yang tenang dan membahagiakan. seorang musafir tua memimpin musafir muda yang dalam kesedihan bangun berdiri. dipujuknya si musafir muda agar tidak terus menangis dan tenggelam dalam lautan penyesalan. Dengan lembut, si musafir tua itu memimpim tangan si musafir muda untuk meneruskan langkah maju ke hadapan.si musafir muda terus melangkah dalam pimpinan musafir tua itu.
kedua-duanya meneruskan langkah di lorong yang sama. di sepanjang perjalanan itu, si musafir muda telah mempelajari banyak perkara yang sebelum ini tidak pernah dia endahkan tika dia asyik dengan lariannya. Si musafir muda kini mula menghayati segala keindahan yang terbentang luas di bumi Ilahi. kini dia menghargai nikmat yang dianugerahi oleh Ilahi kepada hamba-hambaNya. Musafir muda kini mulai merasakan kenikmatan yang tidak pernah dia kecapi sebelum ini. betapa hatinya gembira dan bersyukur kerana dia berpeluang untuk menikmati semuanya sebelum terlambat. betapa hatinya bersyukur dipertemukan dengan seorang musafir tua yang telah memimpinnya tatkala dia hanyut dan lemas dalam lautan penyesalan. Kini, perjalanannya diteruskan bersama musafir tua dengan penuh keredhaan dan keinsafan. si musafir muda kini mengerti, dalam perjalanan hidup ini, larian akan mempercepatkan kita tiba di destinasi yang dituju namun kejayaan menuju ke destinasi itu akan bermakna andai kita lupa untuk bersujud padaNya?
Akan bermaknakah kejayaan itu andai di sepanjang langkah perjalanan, kita mengabaikan segalanya dan kita mengkufuri segala nikmat yang telah ALLAH kurniakan?
Sesungguhnya, perjalanan hidup yang bermakna adalah perjalanan hidup yang dilalui dengan penuh rasa kesyukuran dan keredhaan biarpun perjalanan hidup itu mengambil masa yang lama untuk sampai ke destinasi.Biarlah setiap langkah yang diambil untuk memulakan dan meneruskan perjalanan itu sentiasa ditemani dengan keberkatan dan keredhaan dari Ilahi.
Andai ikhlas memulakan langkah hanya untuk mencari keredhaanNya, perjalanan hidup ni akan terasa lebih indah dan bermakna...

22 Disember 2009
Tg Malim

No comments:

Post a Comment