About Me

My photo
"Hanya seorang musafir muda yang mengembara di bumiNya dalam mencari Cinta Yang Hakiki"

Monday, January 17, 2011

Hanya sebuah nukilan...

Mengapa ada segelintir umat manusia yang telah dianugerahkan Ilahi dengan rahmat sebuah pernikahan sewenang-wenangnya mencemari kesucian ikatan yang dinamakan pernikahan. Bukankah pernikahan itu adalah sebuah ikatan yang mengikat dua hati menjadi satu jiwa, berkongsi rasa kasih dan cinta yang dikurniakan Ilahi? Mengapa setelah bertahun bercinta, pabila bernikah, ianya hanya mampu bertahan setahun dua? Apa lagi yang kurang dalam ikatan pernikahan? Pernikahan adalah medan untuk saling melengkapi kekurangan dan kelebihan namun mengapa setelah akad dilafazkan, sering hanya kekurangan yang dilihat sedangkan ketika bercinta segalanya yang terbaik. Apa lagi yang kurang dalam pernikahan itu? Sering didengari bahawa pernikahan itu adalah medan untuk si isteri mengenali si suami dan si suami untuk melindungi si isteri. Namun mengapa acap kali yang didengari adalah si suami mencederakan isteri, isteri kini berani untuk curang terhadap suami. Apa lagi yang kurangnya dalam sebuah pernikahan? Apa yang sedang dicari oleh mereka ini dalam sebuah ikatan pernikahan? Akan ada yang berkata hanya yang berada dalm ikatan pernikahan itu tahu apa yang berlaku dan mengapa ikatan itu berakhir.



Adakalanya, tatkala mendengar dan melihat begitu banyak ikatan pernikahan yang suci terlerai dek kerana pelbagai alasan yang adakalanya tidak munasabah membuatkan diri ini ragu dengan keupayaan diri. Apakah diri ini telah bersedia untuk melangkah ke gerbang itu? Apakah telah cukup bekalan untuk di bawa tatkala memasuki ke lembah pernikahan? Apakah diri ini mampu menjadi seorang isteri dan ibu yang menjadi penyejuk mata buat suami dan anak-anak? Apakah diri ini mampu menjadi tulang belakang suami, menjadi pendorong buat suami dan menjadi pelengkap kepada kekurangan dan kelebihan suami? Apakah hati ini kuat dan cukup bersedia untuk menerima kekurangan dan kelebihan suami? Apakah hati ini akan redha di atas segala ujian dan dugaan dalam menjalin sebuah ikatan pernikahan yang suci?



"Ya Allah, Engkau yang lebih mengetahui apa yang ada disebalik hati hamba-hambaMU. Engkau yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat Hamba-hambaMu. Diri ini pohon padaMu agar hati ini kuat untuk menghadapi dugaanMu, agar hati ini redha dengan setiap ketentuanMu. Ya Allah, diri ini pohon padaMu diberi kekuatan akal dan hati  seperti para Wanita solehah yang telah menjadi isteri dan ibu kepada para mujahiddin yang telah berjuang di jalanMu. Diri ini pohon padaMu agar diberi kelembutan dan kesabaran seperti para wanita solehah yang telah menjadi isteri dan ibu kepada para mujahiddin yang berjuang untukMu. Diri ini pohon padaMu agar dikurniakan kerahmatan dan kerberkatan di atas jalinan ikatan suci sebuah pernikahan yang telah Engkau takdirkan buatku. Diri ini mohon agar diri ini menjadi penyejuk mata dan hati buat suami yang telah Engkau tetapkan buatku. Ketemukanlah kami dalam rahmatMu agar kami saling menyayangi keranaMu, saling melengkapi keranaMu. Sesungguhnya Engkau yang berkuasa ke atas setiap hamba-hambaMu."

20 Ogos 2010
Tg Malim

Sekalung Doa Buatmu, Guruku

Dalam keheningan malam,
kupanjatkan doa pada Yang Esa,
Ya Tuhanku,
Insan ini telah banyak jasanya padaku,
Dia telah mendidikku dengan penuh kesabaran,
Dia telah mendidikku dalam mengenal duniaMu,
Dia mendidikku tentang kalamMu,
Dia mendidikku dalam mengenal ciptaanMu...
Ya Tuhanku,
Sesungguhnya insan ini telah mengajarku erti sebuah pengorbanan,
Dia telah mendidikku akan nilai sebuah kesabaran,
Dan dia telah mendidikku akan erti kalamMu...
Ya Tuhanku,
Insan ini telah menitipkan harta yang tidak ternilai kepadaku,
Dia telah memberikan aku sebuah pengertian dalam kehidupan,
Dia telah memberikan aku tapak yang kukuh untuk aku terus berdiri di bumiMu ini...
Ya Tuhanku,
Andai aku bisa memetik bintang di langitMu,
Pasti akan kuhadiahkan kepadanya
namun,
aku tidak bisa...
Andai ada daya ku untuk memberikan dunia ini,
akan kuberikan segalanya kepadanya
namun,
aku tiada berdaya...
Segala pengorbanannya,
segala penat lelahnya,
Segala jasanya kepadaku,
takkan dapat ditukar ganti...
Hanya padaMu, Tuhanku,
Aku bermohon...
Berkatilah kesabaran guruku dalam mendidikku,
Ganjarilah pengorbanan guruku dalam mendidikku,
Permudahkanlah kehidupan guruku,
kerana dia telah permudahkan hidupku,
dengan mendidikku akan ilmuMu...
Ya Tuhanku,
Kini aku berdiri di landasan yang sama seperti guruku,
Kumohon padaMu,
Kurniakanlah aku kesabaran setinggi kesabaran para guruku,
Kurniakanlah aku kekuatan sekuat kekuatan para guruku,
Kurniakanlah aku ketabahan seperti para guruku,
Agar aku dapat meneruskan perjuangan para guruku,
dalam mendidik anak bangsaku,
Dalam menegakkan kebenaran ilmuMu,
Agar perjuangan para guruku tidak terhenti,
selagi nadiku berdenyut,
Selagi darah merah masih mengalir dalam tubuhku,
perjuangan para guruku akan kuteruskan...
Sesungguhnya,
tiada apa yang dapat kuberikan
selain sekalung doa pada Yang Esa,
buat seorang insan yang bergelar...
GURU...

Nur Qistina Abdul Razak
UPSI Tg Malim
1:15 am
25/05/2010

Penantian dalam Kelukaan

Buat kesekian kalinya, gadis itu menitiskan airmata. Hatinya merintih dan meratap hiba. Hatinya luka lagi. Pedihnya luka itu begitu perit seakan belati tajam yang menghiris. Bisanya menular ke segenap penjuru hatinya. Manik jernih yang gugur kini selebat hujan yang membasahi bumi. Alam seakan mengerti betapa hati gadis itu kini telah terluka lagi dan alam turut sama berlagu hiba, turut sama menangis kerana alam seakan mengerti gadis itu hanya menangis bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Awan mendung mencurahkan segalanya seakan ingin memberitahu gadis itu, dia tidak menangis sendiri. Alam setia menemaninya di saat tiada insan lain di sisinya. Gelora di hati gadis itu membadai, menghanyutkan hati itu dalam arus deras yang pada bila-bila masa mampu melemaskan hati itu dalam lautan kedukaan dan kelukaan.
Gadis itu tidak mampu lagi menanggung bebanan perasaan yang menghimpit hatinya. Makin dia cuba untuk melupakan, makin kuat ingatannya kepada lelaki itu sedangkan gadis itu tahu dia tak mungkin dapat memiliki cinta lelaki itu kerana lelaki itu tidak pernah menyedari kehadiran cintanya. Makin gadis itu cuba membuang jauh rasa cinta itu, semakin kuat getaran cinta itu. Betapa saat ini, gadis itu kian kelemasan dalam lautan perasaannya. Buat kesekian kalinya, gadis itu merasakan kesakitan kelukaan seperti mana yang pernah dialaminya dulu. Betapa hatinya kini telah dilukai oleh insan-insan yang pernah menghuni hatinya. Dahulu dia pernah menyintai sepenuh hati namun hatinya dilukai, cintanya dibuang ke tepi, kesetiaannya tidak dihargai. Saat itu, lukanya begitu dalam dan bertahun gadis itu mengubatinya. Tika itu, gadis itu terfikir, tak mungkin dia mampu menerima sebuah cinta dalam hatinya lagi.
Namun, dia akhirnya akur pada kehendak takdir. Pintu hatinya diketuk oleh perasaan cinta. Perasaan itu hadir buat seorang insan yang tersangat rapat dengannya namun, akhirnya dia terluka lagi kerana mengharap pada seseorang yang hanya menyayanginya sebagai seorang sahabat. Gadis itu akur pada suratan dan dia redha dengan segalanya. Tak mungkin dia dapat miliki cinta dari insan itu kerana lelaki itu kini sedang berbahagia. Gadis itu hanya mampu mendoakan kebahagiaan sahabatnya itu. Buat kedua kalinya, gadis itu merawat luka di hatinya.
Dalam dia merawat luka dihati, hadir seorang insan menghulurkan cintanya. Mulanya, gadis itu ragu untuk menerima kerana takut terluka lagi. Namun melihatkan kesungguhan lelaki itu membawa dia berjumpa keluarganya membuatkan gadis itu yakin akan keikhlasan lelaki itu. Di saat itu, dirinya terasa amat bahagia dan yakin bahawa cinta lelaki itu akan merawat semua luka dihatinya dan gadis itu menghitung detik yang berlalu dengan harapan saat yang selama ini ditunggunya akan tiba. Gadis itu berpegang pada janji yang dilafazkan lelaki itu. Namun, semakin usia hubungan mereka meningkat, gadis itu masih menunggu dan terus menunggu saat untuk lelaki itu menunaikan janjinya. Gadis itu sering bertanyakan janji yang dilafazkan namun akhirnya jawapan yang diterima melukakan hatinya lagi. Gadis itu menangis dan menangis kerana hanya itu yang terdaya dilakukannya. Terbang segala harapan yang dimimpikannya. Pada satu saat, gadis itu terasa hatinya kosong. Biarpun gadis itu menyayangi lelaki itu, namun, perasaan itu kini seakan semakin menjauh. Jauh meninggalkan dirinya. Di kala itu, gadis itu tidak mengharapkan apa-apa lagi kerana baginya cukuplah dengan harapan yang pernah dia impikan yang musnah begitu sahaja dek kerana cinta. Kini hatinya terluka lagi dan lukanya ini kian dalam hinggakan dia merasakan betapa sakitnya kelukaan ini dan ingin sahaja gadis itu pergi jauh membawa diri ke suatu tempat yang baru agar dia bisa melupakan semuanya.
Gadis itu menangis dan terus menangis. Hatinya telah terluka dan semakin lama lukanya semakin dalam. Dan kini luka itu kian parah di saat dia menyedari betapa dia sebenarnya menyintai seseorang yang baru dikenalinya. Biarpun pada awalnya dia menafikan perasaan yang mula bercambah namun perasaan itu kian mengembang bak kuntuman mawar yang sedang memekar harum. Puas dia cuba untuk membuang jauh perasaan itu, namun dia gagal. Wajah lelaki yang baru dikenalinya sentiasa bermain di ruang fikiran. Puas dia cuba untuk melupakan namun makin kuat ianya menghampiri. Gadis itu mengerti kedudukan dirinya untuk menyintai lelaki itu. Siapalah dia untuk berdamping dengan lelaki itu. Apalah yang ada pada dirinya untuk meraih cinta lelaki itu. Masakan lelaki itu akan memandangnya pabila lelaki itu dikelilingi wanita yang jauh lebih cantik dan hebat dari dirinya. Tatkala memikirkan semua itu, hatinya menangis dan merintih.
Kini, gadis itu hanya mampu menangis dan menangis biarpun tangisannya disebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibir. Gadis itu hanya mampu berserah pada Ilahi. Gadis itu kini mengharapkan belas ihsan Ilahi dalam merawat lukanya. Gadis itu tidak putus berdoa agar suatu hari nanti luka dihatinya ini akan sembuh dengan hadirnya sebuah cinta dari seorang insan yang bergelar Suami. Dia akan terus menanti tibanya saat itu biarpun nanti penantiannya itu merupakan sebuah penantian yang panjang. Gadis itu berdoa agar penantiannya itu bakal memberikannya sebuah kemanisan cinta yang kekal selamanya...

20 May 2010
Tg Malim

Friday, January 14, 2011

Cinta & Air Mata II

Gadis itu termenung sendirian. masih terngiang suara ibunya di benak fikiran. "Ibu ni asyik terima jemputan kahwin dari kawan-kawan ibu. Bila lah agaknya ibu boleh bagi jemputan kahwin pada kawan-kawan ibu pula ye?" tersentak seketika gadis itu tatkala mendengar soalan ibunya. Seakan ada selumbar halus yang menusuk ke dalam hatinya. Pedihnya tak terkata. Gadis itu hanya mampu tersenyum sambil memandang ibu yang dikasihinya. gadis itu dapat melihat raut wajah ibunya yang penuh pengharapan tatkala menatap sekeping kad undangan perkahwinan yang diterimanya. Gadis itu memahami perasaan ayah dan ibunya yang teringin menjadi seperti kawan-kawan mereka. Pada peringkat usia mereka semstinya mereka teringin untuk melihat anak gadis mereka ini memiliki sebuah keluarga sendiri. Mereka teringin untuk bermain dengan anak kecil yang bergelar cucu. mereka teringin untuk dipanggil Tok Ayah dan Ummi. Gadis itu mengerti perasaan kedua orang tuanya namun apakan daya, sehingga kini gadis itu hanya mampu berdoa dan terus menanti saat munculnya hari itu.
Di kala gadis itu keluar bersama sahabatnya, di satu sudut gadis itu terlihat sepasang suami isteri bersama anak-anak mereka yang masih kecil. terleka sebentar gadis itu melihat keceriaan dan kemeriahan keluarga kecil itu. Terhibur hati gadis itu tatkala melihat keletah anak-anak kecil itu bergurau dan bermesra dengan ibu dan ayah. Satu perasaan halus menyelinap ke dalam hati gadis itu. Keluhan kecil terlepas dari mulut si gadis. Dadanya terasa seakan sesak seketika. Terdetik di dalam hatinya persoalan bilakah dia akan merasai suasana seperti pasangan itu? Bilakah dia dapat merasakan apa yang dirasakan wanita itu. Pada pandangan gadis itu, wanita itu cukup bahagia dengan kehadiran suami dan anak-anak. Terselit sedikit perasaan cemburu di hati gadis itu namun dia menyedari cemburu hanya akan memburukkan keadaan hatinya yang sememangnya sedang merintih. Dia hanya mampu tersenyum melihat keluarga kecil itu dan berdoa agar satu hari nanti, saat seperti itu akan muncul dalam hidupnya.
Sedang si gadis leka memerhatikan keluarga kecil itu, di satu sudut taman itu, dia terlihat sepasang pengantin anggun berbusana perkahwinan sedang bergaya di hadapan kamera. terpesona si gadis melihat suasana itu. terpancar riak kegembiraan di wajah keduanya tatkala mata bertentang. Gadis itu dapat merasakan aliran cinta yang hadir di hati kedua pengantin itu. Betapa di saat itu, si gadis berharap dia sedang berada pada suasana itu. Ingin dia meluahkan apa yang ada di dalan hatinya buat insan yang bertakhta di hatinya. namun, gadis itu sedar dia hanya mampu memendam perasaannya kerana hingga kini dia tak punya kekuatan untuk berterus terang pada insan itu. dia hanya mampu memndamkannya dan berharap agar suatu hari nanti, insan itu menyedari getaran cinta di hatinya. Tatkala melihat pasangan itu, hatinya berdoa agar kebahagiaan sentiasa mengiringi kedua pengantin tadi dan semoga Allah memberikannya kekuatan untuk terus bersabar menanti saat tibanya hari yang membahagiakan buat dirinya.
Gadis itu merenung jauh ke hadapan. Fikirannya menerawang seakan mengikut hembusan bayu yang bertiup. Perasaannya seakan melayang jauh dan dikala itu gadis itu teringat luahan hati ibunya. "Ibu selalu berdoa agar puteri ibu dipermudahkan urusan dunia dan akhirat. Ibu selalu mohon pada Yang Esa agar anak ibu ditemukan jodoh dengan seorang lelaki yang beriman, bertanggungjawab, yang boleh membimbing dan melindungi anak ibu. Ibu berdoa agar puteri ibu dipermudahkan urusan jodohnya sebab ibu sangat berharap ibu dapat menyaksikan saat ayah dan ibu menyerahkan puteri ibu ni ke dalam tanggungjawab suaminya." Bergenang manik jernih di kelopak mata gadis itu. Hatinya menangis namun sengaja dia memaniskan wajahnya di hadapan ibunya. Ibu, andai sahaja ibu tahu apa yang ada dalam hati anakmu ini. Gadis itu hanya mampu berdoa dan menanti akan tibanya saat yang diharapkan ayah dan ibunya.
Gadis itu masih mengharapkan agar suatu hari doanya terjawab dan penantiannya berakhir. Gadis itu terus menanti dan menanti dan dalam penantiannya itu dia masih memendamkan sebuah cinta dan airmata buat seorang insan yang telah mencuri hatinya itu...

11 May 2010
Tg Malim

Penantian Sekeping Hati

Di sebalik keheningan malam, sekeping hati bersendiri merenung ke langit. Di saat itu, terlihat olehnya jutaan bintang yang berkerdip indah memenuhi dada langit. Hati itu merasa amat tenang melihat jutaan bintang itu kerana bintang-bintang itu telah menghasilkan pelbagai corak indah ibarat sebuah lukisan yang mempunyai makna tersendiri. Hati itu cuba menafsir corak yang terhasil, namun apa yang terdaya olehnya hanya melihat dan memuji ciptaan Ilahi. Hati itu tak lekang dari kalimat suci mengagungkan kebesaran Ilahi. Terasa secebis ketenangan dan kedamaian menular ke setiap penjuru hati itu. Biarpun pada satu saat, hati tu bergelora memendam rasa namun tatkala melihat keagungan ciptaan Ilahi, gelora itu hilang seolah dibawa pergi oleh angin malam yang menyapa. Terlupa seketika hati itu akan kepedihan luka yang dialaminya dan hati itu mengharapkan agar malam tidak cepat berlalu kerana hati itu belum puas menikmati keindahan malam yang ditaburi butiran bintang di dada langit.
Tatkala fajar mula meyinsing, kicauan burung yang bertebaran di dada langit mulai kedengaran, sekeping hati itu masih di situ memerhatikan terbitnya mentari pagi. Hati itu mengagumi sang matahari kerana sentiasa terbit tanpa jemu menerangi alam. Kehadiran mentari pagi itu sangat mengasyikkan. Hati itu terhibur mendengar kicauan burung yang bertebaran di dada langit memulakan permusafiran mereka demi sebuah penghidupan. Sekeping hati itu merasakan terbitnya mentari pagi seakan membawa petanda betapa sinar harapan akan sentiasa wujud disebalik kegelapan dan kesamaran malam.
Biarpun mentari pagi kian meninggi, sekeping hati itu masih setia di sudut itu memerhatikan mentari yang kini mulai tinggi. Semakin lama, bahang kepanasan kian terasa. Namun hati itu masih terus di situ memerhatikan alam. Biarpun kepanasan sinaran mentari menggigit, hati itu tetap di situ. Baginya, apalah ada pada gigitan kepanasan mentari kerana hati itu pernah merasakan kepedihan yang lebih, pernah merasa kelukaan yang dalam. Malah parut keduanya masih ada pada sekeping hati itu. setiap parut itu punya cerita yang tersendiri.
Sedang hati itu melihat alam, gumpalan awan mendung berarak di kaki langit. Mega suram mulai menghiasi dada langit. Cahaya mentari yang tadinya tajam menikam, kini tidak terasa lagi. Kesuraman awan mendung menimbulkan sedikit kesedihan pada sekeping hati seolah awan mendung itu mengerti gelora yang melanda hati itu. Awan mendung kini menutupi sang mentari yang tadinya galak bersinar. Sekeping hati itu tetap di situ sambil mencari kemana perginya sang mentari. Titik-titik hujan mula berguguran dan hati itu masih setia di situ mengharapkan sang mentari akan muncul kembali. Titisan hujan kian melebat seolah ingin menyatakan bahawa inilah titisan airmata yang selama ini terpendam di dalam hati itu. Andai hati tiu tak mampu untuk menangis, biarlah alam yang menangis untuknya. Dalam kebasahan hujan, hati itu tetap di situ menanti bilakah mentari akan muncul kembali.
Titisan hujan kian mereda dan akhirnya berhenti namun, awan mendung itu masih di situ. Suasana masih suram dan muram. Hati itu yang kini kebasahan, masih terus menanti. Di sebalik awan kelabu itu, sinaran mentari mula muncul kembali. awan mendung mula berarak pergi seakan mengerti bahawa hati itu menantikan mentarinya untuk bersinar kembali. Dengan penuh harapan, hati itu mendongak ke langit mencari kelibat sang mentari. Terukir senyuman pada wajah hati itu tatkala melihat, sang mentari bukan sahaja telah muncul kembali malah ia ditemani sang pelangi indah yang berseri... Namun, hati itu mengerti hadirnya sang mentari ditemani sang pelangi takkan lama kerana itu ketentuanNya. Hati itu redha akan hakikat bahawa wujudnya dia di dunia ini adalah kerana belas ihsan dariNya. wujudnya mentari dan pelangi adalah atas ihsanNya dan perginya keduanya adalah keranaNya...

30 April 2010

Tg Malim

Cinta & Air Mata

Seorang gadis sering berharap agar suatu hari nanti akan ada seorang lelaki hadir di dalam hatinya dan berharap agar lelaki itu bisa mengajar dia erti sebuah cinta. Di dalam lingkungan rakan-rakannya, gadis itu masih bersendiri tanpa ada insan yang istimewa. Adakalanya gadis itu cemburu melihat kebahagiaan rakan-rakannya disamping seorang insan yang bergelar suami. Di dalam hatinya terdetik, bilakah saat bahagia itu akan menjelma buat dirinya? Bilakah dia akan menjadi seperti sahabat-sahabatnya, bergelar seorang isteri dan seorang ibu? Di dalam hatinya, perasaan untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang terbaik buat suami dan anak-anak sentiasa meluap-luap namun apakan daya, sehingga ke saat ini, gadis itu hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti dia jua bakal bergelar isteri dan ibu.
Sehinggalah suatu hari, gadis itu berkenalan dengan seorang jejaka. Pada mulanya tiada apa yang menarik pada jejaka itu pada pandangan mata gadis itu kerana mereka tidak pernah bertegur sapa kerana pada hemat gadis itu adalah tidak manis andai dia yang memulakan langkah. Semakin lama, timbul satu perasaan yang sukar untuk dimengertikan di hati gadis itu terhadap jejaka itu apatah lagi setelah si jejaka mula menegurnya. Pada mulanya gadis itu cuba untuk menafikan perasaan yang hadir kerana dia tahu apalah yang istimewa pada dirinya untuk mempunyai perasaan itu terhadap seorang lelaki sepertinya. Lelaki itu punya segalanya, punya kelebihan yang selayaknya hanya gadis yang punya pakej lengkap sahaja layak berdamping dengan lelaki itu. Gadis itu menyedari hakikat dirinya lalu disimpan sahaja perasaan yang kian bercambah dihatinya itu. Gadis itu hanya mampu memerhatikan lelaki yang dicintai itu dari kejauhan dan hanya mampu berharap agar suatu hari nanti lelaki itu menyedari akan getaran cinta yang ada dihatinya.
Hari kian berganti, musim pun berlalu, gadis itu masih terus menanti akan petanda dari lelaki yang dicintai dalam diam. Gelora di hatinya kian parah. Hati gadis itu kian bergelora sehinggakn pada suatu saat gadis itu menangis sendirian dek kerana tidak tertahan menanggung perasaannya. Disaat dia dalam keresahan, mujur sahabatnya sering menasihati dan memberikan kekuatan padanya. Sahabatnya sering menasihati agar gadis itu berterus-terang namun gadis itu malu. Baginya, adalah tidak molek untuk seorang gadis berlebih-lebih sedangkan lelaki itu mungkin tidak mempunyai sebarang perasaan padanya. Alngkah malunya andai gadis itu hanya bertepuk sebelah tangan dan gadis itu tidak mempunyai kekuatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Cukuplah apa yang pernah hatinya rasai. Hatinya pernah terluka dan dia bimbang andai dia terluka lagi.
Gadis itu masih berhubungan dengan lelaki yang dicintainya atas dasar kawan namun dalam hatinya, hanya Tuhan yang tahu. Di saat lelaki itu mengatakan bahawa dia bersama gadis lain, hati gadis itu terluka, perasaan cemburu dan kecewa hadir menambahkan pedih luka di hatinya. Namun dimaniskan wajahnya, digembirakan tona suaranya seolah tiada apa. Namun dihatinya, dia menangis hiba. Dalam hatinya dia merintih duka. Apakah lelaki itu sedikit pun tidak menyedari perasaan yang ada di hati gadis itu untuknya? Gadis itu hanya mampu tersenyum lesu di sebalik tangisan kelukaan di hatinya. Dikuatkan semangat agar tiada manik jernih gugur di hadapan lelaki itu. Biarlah dia menangis bersendirian kerana selama ini gadis itu telah terbiasa untuk menangis sendiri merawat lukanya sendiri.
Kini, gadis itu hanya mampu berdoa pada Ilahi agar dia diberi kekuatan untuk menghadapi semuanya. Gadis itu berdoa andai sememangnya lelaki itu bukan untuk dia, Tuhan kurniakan kekuatan buatnya untuk redha dengan segalanya. Namun, andai lelaki yang dicintainya dalam diam itu sememangnya telah tercipta untuknya, Tuhan kurniakannya kekuatan untuk terus bersabar menanti tibanya saat lelaki itu menyedari cinta yang ada dihatinya. Dalam penantian gadis itu, dia memendamkan sebuah cinta dan airmata...

29 April 2010

Tg Malim

Hati ini

Mengapa perasaan halus itu hadir di saat hati ini masih cuba untuk mencari sebuah kepastian? Mengapa begitu kuat perasaan ini menikam jiwa ini di kala hati ini cuba untuk menilai di antara dua? Betapa pedih dan sakitnya hati ini menanggung badai yang melanda. seakan lemas hati ini, menggapai mencari ruang untuk bernafas, mencari tempat untuk berpaut agar tidak terus hanyut dan akhirnya tenggelam kelemasan dalam arus yang bergelora. Sukarnya untuk hati ini bertahan. Apakah yang harus hati ini lakukan? apakah dengan membuang keduanya dari hati ini, badai dan gelora akan berakhir? Namun tiadalah daya hati ini untuk menafikan perasaan cinta dan rindu yang hadir. Makin hati ini mencuba untuk membuang semuanya, makin perasaan itu hadir dan mencengkam kuat dasar hati ini. Hati ini tidak mahu melukakan, tidak mahu menyakiti kerana hati ini tahu betapa pedihnya andai terluka, betapa sakitnya andai disakiti. hati ini pernah terluka dan pernah disakiti. hati ini mengambil masa yang agak lama untuk sembuh kerana lukanya teramat dalam. Hati ini tidak mahu dua hati yang disayangi merasai apa yang pernah dirasai. Andai itu yang terjadi, hati ini akan lebih terluka. Terluka kerana melihat dua hati itu terluka. terluka kerana melihat dua hati itu menderita. Hati ini akan bahagia tatkala melihat keduanya bahagia. biarpun andai nanti bahagia itu bukan bersama hati ini. Andai itu yang terjadi, hati ini redha kerana hati ini percaya apabila menyintai seseorang hati ini harus rela melepaskannya pergi andai itu takdirnya kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hambaNya. Biarpun terluka, hati ini akan berusaha untuk terus tersenyum. hati ini percaya CINTA yang suci adalah cinta yang diberi tanpa mengharap balasan. Cinta yang suci memerlukan pengorbanan. Cinta yang suci ibarat cinta sang mentari yang tanpa jemu memberikan cahayanya di segenap penjuru alam. Ibarat sang pelangi yang hadir dibalik awan mendung, biarpun hanya sekejap cuma namun kehadirannya membahagiakan. Ibarat pantai yang tetap setia menanti kehadiran sang ombak biarpun kehadiran ombak itu mungkin mengubah pantai. Begitu jualah dengan sekeping hati ini.

23 April 2010
Tg Malim