About Me

My photo
"Hanya seorang musafir muda yang mengembara di bumiNya dalam mencari Cinta Yang Hakiki"

Friday, August 5, 2011

Monolog Seorang Hamba

semakin aku jauh melangkah dalam perjalanan kehidupan ini, semakin banyak yg telah aku tempuhi dan pelajari. perjalanan ini banyak duri dan ranjau yg harus kutempuhi. bukan sedikit duri dan ranjau yg telah melukakan ku namun aku harus melangkah jua. harus kuhadapi jua segalanya biarpun ianya melukakan, memeritkan. ianya menjadi satu pengajaran buatku betapa hidup ini tidak semudah dan seindah yg kusangkakan. kehidupan ini mengajar aku untuk menjadi lebih dewasa, menjadi hambaNya yg lebih bertakwa, redha dengan segala ketentuan yang telah Dia hadirkan dalam hidupku kerana Dia lebih mengetahui. 

Adakalanya aku terasa tiada upaya ku untuk meneruskan langkahku, aku seakan hampir menyerah dengan setiap ujian dan dugaan yg melanda. puas kuhamburkan airmataku setiap kali kurasakan aku semakin kehilangan tenagaku. aku sering tunduk menangis, di saat kurasakan keupayaan ku semakin menipis. betapa di saat itu kurasakan aku tidak mahu meneruskan langkahku. cukuplah dengan segalanya. aku tak mahu merasai kesakitan bisa duri dan ranjau yg kutempuhi. bagiku, bisa itu sangat memeritkan, sangat menyakitkan.

Di saat aku hampir menyerah, akur pada kekalahan, kurenung kembali alam ciptaanNya ini. kuselami kejadian Matahari, menjalankan amanah yg diberi olehNya. Matahari itu tetap sahaja terbit di ufuk bumi menyebarkan cahayanya. selagi Allah mengizinkan, Matahari tetap hadir biarpun ada ketikanya matahari hilang seketika di balik awan mendung yang menghadirkan hujan dan ribut. sampai masanya, awan mendung itu berlalu pergi, matahari muncul kembali bersama sang pelangi, menyerikan alam yg tadinya kelam. Sabarnya matahari menjalankan amanahNya biarpun ada ketika, kehadiran matahari itu tidak disenangi dan sering dirintih kerana kepanasannya. 
kulihat kawanan burung2 yang terbang bebas di kaki langit. kuselami perjalanan kehidupan sang burung. setiap pagi tanpa jemu, sang burung terbang bertebaran di muka bumi ini mencari rezeki buat mengisi perut sendiri dan zuriatnya untuk kelansungan kehidupan. seharian, jauh sang burung berterbangan. adakalanya, sehingga hari petang, sang burung terbang dan akhirnya rezekinya ada biarpun jauh dari sarangnya. sang burung sentiasa berusaha dan berserah kepada Allah untuk memberikannya rezeki.

banyak kejadian di muka bumi ini sebenarnya mengajar dan menyedarkan aku betapa sebenarnya, Allah itu sangat mengasihi dan mnyintai setiap hambaNya. Allah maha mengetahui segalanya yg telah Dia takdirkan untuk setiap hambaNya. setiap ujian dan dugaan yg diberikanNya adalah satu tanda cintaNya buat para hamba. Allah menguji kerana Dia mahu hambaNya sentiasa menjadi seorang insan yg bertakwa dan beriman. melihatkan setiap kejadian di muka bumi ini membuatkan aku malu sendiri.

Sesungguhnya aku sedar, hidup ini sebenarnya sangat mudah andai perjalanan hidup ini disertai dengan sifat sabar, redha dan tawakal. hidup ini juga sangat indah andai diri sentiasa bersangka baik kepada Allah dan menerima setiap ujian dan dugaanNya sebagai tanda cintaNya. Allah Maha penyayang, maha pengasih ke atas setiap hambaNya. Allah tidak pernah membiarkan hambaNya bersendirian. Dia sentiasa ada bersama hambaNya.

"Ya Allah, Tuhan semesta alam, yang memegang segala rahsia, asbab dan hikmah setiap kejadian, padaMu aku meminta. Kurniakanlah hatiku kekuatan iman untuk menghadapi setiap ujian dan dugaanMu. Lapangkankah hatiku untuk menerima segala ketentuanMu. Pinjamkanku sifat pengasih dan penyayangMu agar aku menjadi seorang hamba yg pemaaf. Pinjamkanku secebis kekuatanMu agar dapat kujalani kehidupanku dengan melaksanakan amanahMu. Ya Allah, Engkau yang maha mendengar segala yang tersurat dan tersirat dalam hati hambaMu. Engkau tempat kumengadu segala dukaku, segala keluh kesahku. Engkau mendengar segala rintihan hambaMu. Engkau yg menyaksikan segala keperitan, kesusahan hambaMu. Hanya Engkau yg mampu menghilangkan kesedihanku, hanya Engkau yang mampu menghilangkan keperitanku. Jadikanlah aku hambaMu yg sentiasa mensyukuri segala nikmat dan musibah yg Engkau kurniakan. JAdikanlah aku hambaMu yg memiliki sifat sabar yang tinggi seperti mana sabarnya kekasihMu, junjungan setiap umat. kurniakan aku kelembutan seperti kelembutan kekasihMu. kurniakan aku kecekalan seperti kecekalan kekasihMu agar dapat kuteruskan perjalanan hidupku dengan lebih ketengana dan kecekalan. Ya Allah, padaMu kuserahkan hidup dan matiku kerana Engkau lebih mengetahui..."

Wednesday, August 3, 2011

Sekadar luahan di 3 Ramadhan

Hari ni, hari ketiga umat Islam menunaikan Rukun Islam yg ke3. sekejap jer 3 Ramadhan bakal berakhir dan 4 Ramadhan pula menyusul. putaran masa terasa seakan singkat dan cepat. Syukur, Allah masih mengurniakan kesempatan untuk kita menjalani ibadah ini buat kesekian kalinya. Dalam diri ini mengharungi baki 3 Ramadhan ni, banyak perkara terdetik di dalam hati dan banyak juga perkara yg telah berlaku menyebabkan minda ligat bermain, memikirkan setiap persoalan dan perkara... (hem, macam serius je bunyi, tapi memang serius pun). 
 
Banyak perkara yg berlaku dalam hidup ini membuatkan mindaku ligat berputar. memikirkan setiap satu perkara yg terjadi. mencari jawapan kepada setiap persoalan. kekadang pabila melihat sekeliling, banyak sungguh gelagat2 insani yg adakalanya membuatkan diri ini terfikir; kenapa & mengapa?. adakalanya, sikap insan2 disekeliling ni membuatkan diri ini bermuhasabah kembali. sebenarnya setiap perilaku kita ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi keadaan sekekliling dan insan2 yg hampir dengan kita. contohnya, apabila kita senyum pada seseorang, tidak mustahil insan tersebut akan turut tersenyum. (tapi ada gak yang tak.. huhuhu) baik atau buruk impak sesuatu perkataan yg kita lafazkan atau perbuatan yg kita lakukan bergantung pada kita, niat kita. (walaupun ramai jer yg tersalah tafsir... huhuhu)

adakalanya, sikap kita ni dipengaruhi oleh faktor2 sekeliling dan usia turut membantu (ye ke?) tapi masih ramai lagi yg bersikap tidak seperti usia mereka. ada yg umurnya dah banyak namum masih bersikap kebudak-budakkan (dalam konteks ni, TAK MATANG). ada juga usianya, alahai, baru setahun jagung tapi pemikiran, percakapan, tingkah laku sangat dewasa... jelas, ada ketikanya, usia tidak menjamin kematangan seseorang... melihat gelagat insan2 di sekeliling banyak megajar diri ini utk lebih memahami dan mengerti realiti kehidupan. Syukur padaMu Ya Allah, kerana telah Kau ilhamkan kepada ku secebis ilmuMu melalui ujian dan dugaan yg Kau hadirkan dalam duniaMu ini..

benarlah kata org tua2: Pengalaman adalah guru yg terbaik. pengalaman mengajar kita untuk menjadi insan yg lebih baik dari yg sebelumnya. namun, semua itu tak mungkin terjadi tanpa izin dari Ilahi, kerana Dialah pemegang segala kunci langit dan bumi, Dialah pemegang segala rahsia, asbab dan hikmah setiap kejadian. Allah yang Maha Agung... Syukran Ya Allah

Tuesday, July 5, 2011

Perjalanan Kehidupan 2011

Setelah sekian lama tidak menulis, tiba-tiba rasa nak menulis kembali. sebenarnya banyak ilham yang datang namun tak tahu bagaimana nak memulakannya. Adakalanya, kekangan masa membuatkan tiada kesempatan untuk menulis. walau bagaimanapun, akan dicuba juga meluangkan masa untuk menulis. sekurang-kurangnya, dengan menulis, dapat jugalah meluahkan apa yg terbuku atau mungkin sekadar berkongsi apa yang dilihat dan apa yang dialami diri sendiri mahupun insan-insan disekeliling diri ini. 

Dalam diam sudah setengah tahun perjalanan kehidupan di tahun 2011 ni. banyak perkara yg telah berlaku dan di alami diri ini dan juga insan-insan disekeliling terutamanya keluarga dan sahabat2. setiap perkara dan kejadian yg berlaku sedikit sebanyak mematangkan diri ini terutamanya dalam mengharungi arus kehidupan yg adakalanya bagai ribut taufan yg mengganas dan adakalanya ibarat angin bayu sepoi-sepoi bahasa menyapa pipi, tenang dan mengasyikkan. Syukur pada Ilahi kerana masih memberikan kesempatan diri ini untuk belajar mengenal erti kehidupan. Syukur pada Ilahi kerana masih memberikan kesempatan diri ini utk terus berbakti pada kedua ibu bapa, guru, anak bangsa, agama dan negara secara langsung mahupun tidak langsung. 

Bila direnungkan kembali, sebenarnya masih banyak yg harus diri ini perbaiki dan pelajari dalam mengenal cinta Ilahi. apa yg ada sekarang ini masih belum cukup utk melayakkan diri ini mengaku bahawa sesungguhnya diri ini tahu tentang sesuatu. bak kata pesan Guruku "Semakin banyak kita tahu, semakin banyak yg kita masih tak tahu" lebih kurang begitulah pesannya. sememangnya benar pesanannya itu. apa yg kita tahu itu belum tentu menjamin kita ini serba mengetahui kerana masih banyak yg perlu kita pelajari dalam memahami makna sebenar sebuah kehidupan sebagai seorang hambaNya yg kerdil. Bahkan pernah dikatakan "Andai kering semua lautan di dunia ini dijadikan dakwat, belum tentu dapat diketahui segala ilmu yg Allah ada" Maha Suci Allah, sesungguhnya hanya Dialah yg memiliki segala kebijaksanaan yang tiada taranya dan kita hambaNya yg kerdil ini hanya meminjam secebis ZatNya untuk menjadi hamba yg sebenar-benar mengenal siapa Dia. itupun sayangnya, masih ada segelintir hambaNya yg angkuh dengan apa yg dipinjamkanNya. Nauzubillah, semoga tiadalah diri ini dan insan2 disekeklilingku yg tergolong dalam golongan seperti itu.

Sesungguhnya, diri ini sangat bersyukur kerana dikurniakan kedua ibubapa yang sangat mengasihiku, tanpa jemu mendidikku agar sentiasa menjadi insan yg bermanfaat kepada insan2 lain, menasihatiku tatkala aku terlena seketika dan menjagaku tatkala kesakitan dan kesempitan melanda. Aku turut bersyukur kerana dikurniakan para guru yg telah mendidikku semenjak aku mula melangkah ke alam sekolah hinggalah kini aku jua bergelar pendidik. Banyak yg telah aku pelajari hasil didikan mereka. aku jua turut bersyukur kerana dikurniakan sahabat2 yg sentiasa bersamaku susah dan senang. Aku sangat2 bersyukur kerana telah banyak yg Allah kurniakan buatku sepanjang 26 tahun aku bernafas di muka bumiNya ini. 

Semoga perjalanan hidupku ini akan sentiasa dirahmati dan diberkati Allah agar aku terus menjadi hambaNya yg bermanfaat buat insan2 lain. Hanya padaNya aku sandarkan setiap impian, harapan dan anganku kerana Dia lebih mengetahui apa yang terbaik buatku...


Monday, January 17, 2011

Hanya sebuah nukilan...

Mengapa ada segelintir umat manusia yang telah dianugerahkan Ilahi dengan rahmat sebuah pernikahan sewenang-wenangnya mencemari kesucian ikatan yang dinamakan pernikahan. Bukankah pernikahan itu adalah sebuah ikatan yang mengikat dua hati menjadi satu jiwa, berkongsi rasa kasih dan cinta yang dikurniakan Ilahi? Mengapa setelah bertahun bercinta, pabila bernikah, ianya hanya mampu bertahan setahun dua? Apa lagi yang kurang dalam ikatan pernikahan? Pernikahan adalah medan untuk saling melengkapi kekurangan dan kelebihan namun mengapa setelah akad dilafazkan, sering hanya kekurangan yang dilihat sedangkan ketika bercinta segalanya yang terbaik. Apa lagi yang kurang dalam pernikahan itu? Sering didengari bahawa pernikahan itu adalah medan untuk si isteri mengenali si suami dan si suami untuk melindungi si isteri. Namun mengapa acap kali yang didengari adalah si suami mencederakan isteri, isteri kini berani untuk curang terhadap suami. Apa lagi yang kurangnya dalam sebuah pernikahan? Apa yang sedang dicari oleh mereka ini dalam sebuah ikatan pernikahan? Akan ada yang berkata hanya yang berada dalm ikatan pernikahan itu tahu apa yang berlaku dan mengapa ikatan itu berakhir.



Adakalanya, tatkala mendengar dan melihat begitu banyak ikatan pernikahan yang suci terlerai dek kerana pelbagai alasan yang adakalanya tidak munasabah membuatkan diri ini ragu dengan keupayaan diri. Apakah diri ini telah bersedia untuk melangkah ke gerbang itu? Apakah telah cukup bekalan untuk di bawa tatkala memasuki ke lembah pernikahan? Apakah diri ini mampu menjadi seorang isteri dan ibu yang menjadi penyejuk mata buat suami dan anak-anak? Apakah diri ini mampu menjadi tulang belakang suami, menjadi pendorong buat suami dan menjadi pelengkap kepada kekurangan dan kelebihan suami? Apakah hati ini kuat dan cukup bersedia untuk menerima kekurangan dan kelebihan suami? Apakah hati ini akan redha di atas segala ujian dan dugaan dalam menjalin sebuah ikatan pernikahan yang suci?



"Ya Allah, Engkau yang lebih mengetahui apa yang ada disebalik hati hamba-hambaMU. Engkau yang lebih mengetahui apa yang terbaik buat Hamba-hambaMu. Diri ini pohon padaMu agar hati ini kuat untuk menghadapi dugaanMu, agar hati ini redha dengan setiap ketentuanMu. Ya Allah, diri ini pohon padaMu diberi kekuatan akal dan hati  seperti para Wanita solehah yang telah menjadi isteri dan ibu kepada para mujahiddin yang telah berjuang di jalanMu. Diri ini pohon padaMu agar diberi kelembutan dan kesabaran seperti para wanita solehah yang telah menjadi isteri dan ibu kepada para mujahiddin yang berjuang untukMu. Diri ini pohon padaMu agar dikurniakan kerahmatan dan kerberkatan di atas jalinan ikatan suci sebuah pernikahan yang telah Engkau takdirkan buatku. Diri ini mohon agar diri ini menjadi penyejuk mata dan hati buat suami yang telah Engkau tetapkan buatku. Ketemukanlah kami dalam rahmatMu agar kami saling menyayangi keranaMu, saling melengkapi keranaMu. Sesungguhnya Engkau yang berkuasa ke atas setiap hamba-hambaMu."

20 Ogos 2010
Tg Malim

Sekalung Doa Buatmu, Guruku

Dalam keheningan malam,
kupanjatkan doa pada Yang Esa,
Ya Tuhanku,
Insan ini telah banyak jasanya padaku,
Dia telah mendidikku dengan penuh kesabaran,
Dia telah mendidikku dalam mengenal duniaMu,
Dia mendidikku tentang kalamMu,
Dia mendidikku dalam mengenal ciptaanMu...
Ya Tuhanku,
Sesungguhnya insan ini telah mengajarku erti sebuah pengorbanan,
Dia telah mendidikku akan nilai sebuah kesabaran,
Dan dia telah mendidikku akan erti kalamMu...
Ya Tuhanku,
Insan ini telah menitipkan harta yang tidak ternilai kepadaku,
Dia telah memberikan aku sebuah pengertian dalam kehidupan,
Dia telah memberikan aku tapak yang kukuh untuk aku terus berdiri di bumiMu ini...
Ya Tuhanku,
Andai aku bisa memetik bintang di langitMu,
Pasti akan kuhadiahkan kepadanya
namun,
aku tidak bisa...
Andai ada daya ku untuk memberikan dunia ini,
akan kuberikan segalanya kepadanya
namun,
aku tiada berdaya...
Segala pengorbanannya,
segala penat lelahnya,
Segala jasanya kepadaku,
takkan dapat ditukar ganti...
Hanya padaMu, Tuhanku,
Aku bermohon...
Berkatilah kesabaran guruku dalam mendidikku,
Ganjarilah pengorbanan guruku dalam mendidikku,
Permudahkanlah kehidupan guruku,
kerana dia telah permudahkan hidupku,
dengan mendidikku akan ilmuMu...
Ya Tuhanku,
Kini aku berdiri di landasan yang sama seperti guruku,
Kumohon padaMu,
Kurniakanlah aku kesabaran setinggi kesabaran para guruku,
Kurniakanlah aku kekuatan sekuat kekuatan para guruku,
Kurniakanlah aku ketabahan seperti para guruku,
Agar aku dapat meneruskan perjuangan para guruku,
dalam mendidik anak bangsaku,
Dalam menegakkan kebenaran ilmuMu,
Agar perjuangan para guruku tidak terhenti,
selagi nadiku berdenyut,
Selagi darah merah masih mengalir dalam tubuhku,
perjuangan para guruku akan kuteruskan...
Sesungguhnya,
tiada apa yang dapat kuberikan
selain sekalung doa pada Yang Esa,
buat seorang insan yang bergelar...
GURU...

Nur Qistina Abdul Razak
UPSI Tg Malim
1:15 am
25/05/2010

Penantian dalam Kelukaan

Buat kesekian kalinya, gadis itu menitiskan airmata. Hatinya merintih dan meratap hiba. Hatinya luka lagi. Pedihnya luka itu begitu perit seakan belati tajam yang menghiris. Bisanya menular ke segenap penjuru hatinya. Manik jernih yang gugur kini selebat hujan yang membasahi bumi. Alam seakan mengerti betapa hati gadis itu kini telah terluka lagi dan alam turut sama berlagu hiba, turut sama menangis kerana alam seakan mengerti gadis itu hanya menangis bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Awan mendung mencurahkan segalanya seakan ingin memberitahu gadis itu, dia tidak menangis sendiri. Alam setia menemaninya di saat tiada insan lain di sisinya. Gelora di hati gadis itu membadai, menghanyutkan hati itu dalam arus deras yang pada bila-bila masa mampu melemaskan hati itu dalam lautan kedukaan dan kelukaan.
Gadis itu tidak mampu lagi menanggung bebanan perasaan yang menghimpit hatinya. Makin dia cuba untuk melupakan, makin kuat ingatannya kepada lelaki itu sedangkan gadis itu tahu dia tak mungkin dapat memiliki cinta lelaki itu kerana lelaki itu tidak pernah menyedari kehadiran cintanya. Makin gadis itu cuba membuang jauh rasa cinta itu, semakin kuat getaran cinta itu. Betapa saat ini, gadis itu kian kelemasan dalam lautan perasaannya. Buat kesekian kalinya, gadis itu merasakan kesakitan kelukaan seperti mana yang pernah dialaminya dulu. Betapa hatinya kini telah dilukai oleh insan-insan yang pernah menghuni hatinya. Dahulu dia pernah menyintai sepenuh hati namun hatinya dilukai, cintanya dibuang ke tepi, kesetiaannya tidak dihargai. Saat itu, lukanya begitu dalam dan bertahun gadis itu mengubatinya. Tika itu, gadis itu terfikir, tak mungkin dia mampu menerima sebuah cinta dalam hatinya lagi.
Namun, dia akhirnya akur pada kehendak takdir. Pintu hatinya diketuk oleh perasaan cinta. Perasaan itu hadir buat seorang insan yang tersangat rapat dengannya namun, akhirnya dia terluka lagi kerana mengharap pada seseorang yang hanya menyayanginya sebagai seorang sahabat. Gadis itu akur pada suratan dan dia redha dengan segalanya. Tak mungkin dia dapat miliki cinta dari insan itu kerana lelaki itu kini sedang berbahagia. Gadis itu hanya mampu mendoakan kebahagiaan sahabatnya itu. Buat kedua kalinya, gadis itu merawat luka di hatinya.
Dalam dia merawat luka dihati, hadir seorang insan menghulurkan cintanya. Mulanya, gadis itu ragu untuk menerima kerana takut terluka lagi. Namun melihatkan kesungguhan lelaki itu membawa dia berjumpa keluarganya membuatkan gadis itu yakin akan keikhlasan lelaki itu. Di saat itu, dirinya terasa amat bahagia dan yakin bahawa cinta lelaki itu akan merawat semua luka dihatinya dan gadis itu menghitung detik yang berlalu dengan harapan saat yang selama ini ditunggunya akan tiba. Gadis itu berpegang pada janji yang dilafazkan lelaki itu. Namun, semakin usia hubungan mereka meningkat, gadis itu masih menunggu dan terus menunggu saat untuk lelaki itu menunaikan janjinya. Gadis itu sering bertanyakan janji yang dilafazkan namun akhirnya jawapan yang diterima melukakan hatinya lagi. Gadis itu menangis dan menangis kerana hanya itu yang terdaya dilakukannya. Terbang segala harapan yang dimimpikannya. Pada satu saat, gadis itu terasa hatinya kosong. Biarpun gadis itu menyayangi lelaki itu, namun, perasaan itu kini seakan semakin menjauh. Jauh meninggalkan dirinya. Di kala itu, gadis itu tidak mengharapkan apa-apa lagi kerana baginya cukuplah dengan harapan yang pernah dia impikan yang musnah begitu sahaja dek kerana cinta. Kini hatinya terluka lagi dan lukanya ini kian dalam hinggakan dia merasakan betapa sakitnya kelukaan ini dan ingin sahaja gadis itu pergi jauh membawa diri ke suatu tempat yang baru agar dia bisa melupakan semuanya.
Gadis itu menangis dan terus menangis. Hatinya telah terluka dan semakin lama lukanya semakin dalam. Dan kini luka itu kian parah di saat dia menyedari betapa dia sebenarnya menyintai seseorang yang baru dikenalinya. Biarpun pada awalnya dia menafikan perasaan yang mula bercambah namun perasaan itu kian mengembang bak kuntuman mawar yang sedang memekar harum. Puas dia cuba untuk membuang jauh perasaan itu, namun dia gagal. Wajah lelaki yang baru dikenalinya sentiasa bermain di ruang fikiran. Puas dia cuba untuk melupakan namun makin kuat ianya menghampiri. Gadis itu mengerti kedudukan dirinya untuk menyintai lelaki itu. Siapalah dia untuk berdamping dengan lelaki itu. Apalah yang ada pada dirinya untuk meraih cinta lelaki itu. Masakan lelaki itu akan memandangnya pabila lelaki itu dikelilingi wanita yang jauh lebih cantik dan hebat dari dirinya. Tatkala memikirkan semua itu, hatinya menangis dan merintih.
Kini, gadis itu hanya mampu menangis dan menangis biarpun tangisannya disebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibir. Gadis itu hanya mampu berserah pada Ilahi. Gadis itu kini mengharapkan belas ihsan Ilahi dalam merawat lukanya. Gadis itu tidak putus berdoa agar suatu hari nanti luka dihatinya ini akan sembuh dengan hadirnya sebuah cinta dari seorang insan yang bergelar Suami. Dia akan terus menanti tibanya saat itu biarpun nanti penantiannya itu merupakan sebuah penantian yang panjang. Gadis itu berdoa agar penantiannya itu bakal memberikannya sebuah kemanisan cinta yang kekal selamanya...

20 May 2010
Tg Malim

Friday, January 14, 2011

Cinta & Air Mata II

Gadis itu termenung sendirian. masih terngiang suara ibunya di benak fikiran. "Ibu ni asyik terima jemputan kahwin dari kawan-kawan ibu. Bila lah agaknya ibu boleh bagi jemputan kahwin pada kawan-kawan ibu pula ye?" tersentak seketika gadis itu tatkala mendengar soalan ibunya. Seakan ada selumbar halus yang menusuk ke dalam hatinya. Pedihnya tak terkata. Gadis itu hanya mampu tersenyum sambil memandang ibu yang dikasihinya. gadis itu dapat melihat raut wajah ibunya yang penuh pengharapan tatkala menatap sekeping kad undangan perkahwinan yang diterimanya. Gadis itu memahami perasaan ayah dan ibunya yang teringin menjadi seperti kawan-kawan mereka. Pada peringkat usia mereka semstinya mereka teringin untuk melihat anak gadis mereka ini memiliki sebuah keluarga sendiri. Mereka teringin untuk bermain dengan anak kecil yang bergelar cucu. mereka teringin untuk dipanggil Tok Ayah dan Ummi. Gadis itu mengerti perasaan kedua orang tuanya namun apakan daya, sehingga kini gadis itu hanya mampu berdoa dan terus menanti saat munculnya hari itu.
Di kala gadis itu keluar bersama sahabatnya, di satu sudut gadis itu terlihat sepasang suami isteri bersama anak-anak mereka yang masih kecil. terleka sebentar gadis itu melihat keceriaan dan kemeriahan keluarga kecil itu. Terhibur hati gadis itu tatkala melihat keletah anak-anak kecil itu bergurau dan bermesra dengan ibu dan ayah. Satu perasaan halus menyelinap ke dalam hati gadis itu. Keluhan kecil terlepas dari mulut si gadis. Dadanya terasa seakan sesak seketika. Terdetik di dalam hatinya persoalan bilakah dia akan merasai suasana seperti pasangan itu? Bilakah dia dapat merasakan apa yang dirasakan wanita itu. Pada pandangan gadis itu, wanita itu cukup bahagia dengan kehadiran suami dan anak-anak. Terselit sedikit perasaan cemburu di hati gadis itu namun dia menyedari cemburu hanya akan memburukkan keadaan hatinya yang sememangnya sedang merintih. Dia hanya mampu tersenyum melihat keluarga kecil itu dan berdoa agar satu hari nanti, saat seperti itu akan muncul dalam hidupnya.
Sedang si gadis leka memerhatikan keluarga kecil itu, di satu sudut taman itu, dia terlihat sepasang pengantin anggun berbusana perkahwinan sedang bergaya di hadapan kamera. terpesona si gadis melihat suasana itu. terpancar riak kegembiraan di wajah keduanya tatkala mata bertentang. Gadis itu dapat merasakan aliran cinta yang hadir di hati kedua pengantin itu. Betapa di saat itu, si gadis berharap dia sedang berada pada suasana itu. Ingin dia meluahkan apa yang ada di dalan hatinya buat insan yang bertakhta di hatinya. namun, gadis itu sedar dia hanya mampu memendam perasaannya kerana hingga kini dia tak punya kekuatan untuk berterus terang pada insan itu. dia hanya mampu memndamkannya dan berharap agar suatu hari nanti, insan itu menyedari getaran cinta di hatinya. Tatkala melihat pasangan itu, hatinya berdoa agar kebahagiaan sentiasa mengiringi kedua pengantin tadi dan semoga Allah memberikannya kekuatan untuk terus bersabar menanti saat tibanya hari yang membahagiakan buat dirinya.
Gadis itu merenung jauh ke hadapan. Fikirannya menerawang seakan mengikut hembusan bayu yang bertiup. Perasaannya seakan melayang jauh dan dikala itu gadis itu teringat luahan hati ibunya. "Ibu selalu berdoa agar puteri ibu dipermudahkan urusan dunia dan akhirat. Ibu selalu mohon pada Yang Esa agar anak ibu ditemukan jodoh dengan seorang lelaki yang beriman, bertanggungjawab, yang boleh membimbing dan melindungi anak ibu. Ibu berdoa agar puteri ibu dipermudahkan urusan jodohnya sebab ibu sangat berharap ibu dapat menyaksikan saat ayah dan ibu menyerahkan puteri ibu ni ke dalam tanggungjawab suaminya." Bergenang manik jernih di kelopak mata gadis itu. Hatinya menangis namun sengaja dia memaniskan wajahnya di hadapan ibunya. Ibu, andai sahaja ibu tahu apa yang ada dalam hati anakmu ini. Gadis itu hanya mampu berdoa dan menanti akan tibanya saat yang diharapkan ayah dan ibunya.
Gadis itu masih mengharapkan agar suatu hari doanya terjawab dan penantiannya berakhir. Gadis itu terus menanti dan menanti dan dalam penantiannya itu dia masih memendamkan sebuah cinta dan airmata buat seorang insan yang telah mencuri hatinya itu...

11 May 2010
Tg Malim